Bola Sepak

De Paula laung keyakinan kemampuan Harimau Malaya

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Penyerang kesukaan ramai, Guilherme de Paula yakin skuad Harimau Malaya akan mampu layak ke Piala Asia tahun depan jika prestasi sama ketika menundukkan Turkmenistan dapat diulangi apabila turun menentang Bahrain, Sabtu ini.

Jelas pemain naturalisasi negara itu, kemenangan 3-1 ke atas Turkmenistan di Stadium Nasional Bukit Jalil adalah permulaan dan momentum itu akan diteruskan dalam aksi kedua di venue sama nanti.

"Saya rasa kita mampu (tewaskan Bahrain) dan kita akan turun dengan sepenuh kekuatan, dan kita akan lihat siapa lebih kuat," katanya ketika ditemui sejurus tamat aksi dengan Turkmenistan itu.

De Paula, 35, yang masuk selaku pemain gantian pada babak kedua mendapat sorakan gemuruh penyokong di Bukit Jalil malam tadi.

Setiap kali bola singgah di kakinya, namanya akan bergema di setiap ruang stadium itu dengan mengharapkan sesuatu daripada pemain kelahiran Brazil itu.

"Ia sudah tentu sasaran peribadi saya adalah untuk layak (ke Piala Asia)," katanya yang kini bersama kelab Johor Darul Ta'zim (JDT).

Dalam aksi pertama itu, anak buah Kim Pan-gon memulakan kempen Kelayakan Piala Asia dengan nota kemenangan apabila tiga jaringan menerusi Safawi Rasid di minit ke-11, Faisal Halim (m-16) dan Corbin Ong (m-46), dengan pelawat meraih gol saguhati menerusi Annadurdyyev Altymyrat (m-38).

Ujar De Paula lagi, dia mengucapkan terima kasih di atas sokongan padu penyokong yang tidak henti-henti bersorak buat pasukan.

"Dengan sokongan yang diberikan oleh penyokong kami semua bersemangat untuk beraksi lebih daripada 100 peratus.

"Apa yang boleh saya katakan ialah saya bangga berada di negara ini dan saya bangga mewakili Malaysia," katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2022 @ 1:08pm
d