Bola Sepak

Dua tugas getir Osmera

Oleh BERNAMA

Petaling Jaya: Dua tugas besar menanti ketua jurulatih skuad bola sepak Bawah 17 (B-17) kebangsaan yang baharu Osmera Omaro yang dilantik ke jawatan berkenaan bagi tempoh setahun.

Dua tugas tersebut ialah Kejohanan AFF B-16 di Bogor, Indonesia pada 31 Julai hingga 14 Ogos dan Kejohanan AFC B-17 di Manama, Bahrain pada 1 hingga 9 Okt.

Pengurus pasukan B-17 kebangsaan Christopher Raj berkata pada masa sama, dua kejohanan itu menjadi kayu pengukur kepada Osmera untuk mempersiapkan barisan skuad muda negara bagi mengharungi kejohanan kompetitif lain.

"Menerusi Kejohanan AFF B-16 sasaran diletakkan untuk mereka berjaya melepasi peringkat separuh akhir, sementara mereka (skuad) juga perlu melayakkan diri ke pusingan akhir kelayakan Kejohanan AFC B-17 nanti.

"Kita mesti layak ke separuh akhir AFF kerana ini bukan lawatan sambil belajar sebagai pendedahan ke apa. Kita dalam mod pertandingan, jadi sasaran itu diletakkan," katanya pada sidang media pengumuman barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya B-17 di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di sini hari ini.

Sementara itu, Christopher berkata sasaran melayakkan diri ke pusingan akhir kelayakan AFC sekali gus berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Piala Dunia B-17.

"Bagi memudahkan perkara itu kita kena habiskan saingan di tempat teratas untuk layak ataupun berada di kedudukan kedua, dengan skuad negara akan berdepan pasukan Indonesia, Palestin, Guam dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Kumpulan B," katanya.

Dalam pada itu, Osmera berkata pihaknya akan menjalankan latihan pusat pertama dengan seramai 37 pemain akan terlibat di Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) dalam masa terdekat.

"FAM kemudian menjalankan pemilihan seramai 23 pemain sebelum latihan pusat kedua pada 20 Julai dan mereka kemudian berlepas ke Indonesia bagi mengharungi kejohanan AFF," katanya.

Turut diumumkan pada sidang media tersebut penolong jurulatih Amirizdwan Taj Tajudin, Efendi Abd Malek dan V Kavichelvan.

Disiarkan pada: June 9, 2022 @ 7:28pm
d