Bola Sepak

'Sebenarnya tak perlu guna penyodok' - PSM

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Siapa harus dipersalahkan apabila keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bertukar menjadi bendang pada perlawanan membabitkan skuad Harimau Malaya menentang Bahrain malam tadi?

Ini kerana perlawanan kedua membabitkan Harimau Malaya dalam kempen pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023 itu menyebabkan imej Malaysia sebagai tuan rumah tercalar apabila keadaan padang begitu teruk selain terpaksa menggunakan penyodok atau kertas kadbod untuk membuang air selepas hujan lebih dua jam.

Situasi terbabit menyebabkan banyak pihak menuding jari kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang dilihat gagal menguruskan keadaan padang dengan baik termasuklah menyediakan kemudahan secukupnya bagi menangani keadaan cuaca hujan lebat.

Berikutan itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi tampil menjelaskan situasi berkenaan yang melihat penggunaan penyodok atau kertas kadbod untuk membuang air sepatutnya tidak digunakan penganjur kerana akan merosakkan padang berkenaan.

Beliau berkata, PSM sudah mencadangkan supaya perlawanan pada malam tadi dilewatkan untuk tempoh sekurang-kurangnya setengah jam namun pihak penganjur tetap mahu meneruskannya seperti waktu ditetapkan sekali gus menyebabkan padang rosak.

"Seperti sedia maklum, padang SNBJ mempunyai sistem pengaliran air yang tersendiri iaitu air akan keluar mengikut saluran yang sudah dibuat di bawah padang apabila hujan lebat.

"Kami sudah nasihatkan kepada penganjur untuk tangguhkan perlawanan pada jam 9.30 untuk beri masa air di atas padang mengalir keluar namun mereka tetap meneruskan perlawanan malah menggunakan pula penyodok dan kadbod untuk membuang air.

"Natijahnya, padang pula jadi rosak sekali gus banyak kerja perlu dilakukan bagi memastikan venue itu berada pada keadaan terbaik pada perlawanan akan datang," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan petugas perlawanan terpaksa menggunakan penyodok sampah dan kertas putih keras untuk membuang air yang bertakung di atas permukaan padang di SNBJ.

Situasi itu sebenarnya memalukan ketika seharusnya jentera menolak air boleh digunakan seperti mana dipraktikkan oleh kebanyakan stadium di seluruh dunia.

Ini bukan situasi yang jarang berlaku di stadium ini kerana sebelum ini beberapa aksi persahabatan mahupun final Liga Malaysia pernah berdepan masalah air bertakung susulan hujan lebat yang turun sebelum aksi.

Sementara itu, sumber memaklumkan bahawa terdapat cadangan sebelum ini supaya hanya perlawanan membabitkan Harimau Malaya saja diadakan di SNBJ bagi memastikan kualiti padang terjamin dan tidak rosak.

"Namun, ada pihak tertentu berkeras juga mahu enam perlawanan diadakan di SNBJ dalam tempoh lebih kurang seminggu. Kita boleh lihat apa akibatnya apabila padang tidak boleh tahan seterusnya rosak.

"Sepatutnya, perlawanan lain (bukan membabitkan Harimau Malaya) diadakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur sekali gus padang SNBJ dapat digunakan secara optimum," katanya.

Pada perlawanan malam tadi menyaksikan Malaysia tewas 1-2 kepada Bahrain pada aksi kedua Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023.

Disiarkan pada: June 12, 2022 @ 11:55am
d