Bola Sepak

'Kita pandang ke depan' - Pan-gon

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon enggan meratapi kekalahan kepada Bahrain dengan mahu memberikan fokus sepenuhnya membaham Bangladesh pada perlawanan terakhir kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023.

Terdahulu, misi skuad Harimau Malaya memburu tujuh mata ke Piala Asia 2023 lebur apabila tumbang 1-2 di tangan Bahrain pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Kekalahan itu menyaksikan perancangan skuad Harimau Malaya untuk melangkah ke Piala Asia 2023 sedikit terencat sekali gus perlu menang besar menentang Bangladesh dalam usaha menjadi antara lima naib juara terbaik kumpulan.

Pan-gon berkata, aksi berdepan Bahrain sewajarnya menjadi pengajaran yang berguna buat barisan pemainnya namun pengendali dari Korea Selatan itu menuntut kebangkitan pada aksi penentuan berdepan Bangladesh, Selasa ini.

"Saya tidak boleh merungut kerana pemain sudah memberikan yang terbaik. Kita tidak boleh melonjak daripada sini (kedudukan sekarang) ke tempat yang lebih tinggi hanya dalam beberapa hari.

"Setiap tahun kita akan berdepan pelbagai kejohanan dan bola sepak sentiasa berterusan. Berapa banyak yang kita belajar, berapa banyak yang kita boleh tingkatkan, kita tidak perlu kecewa dan terlalu bersedih.

"Kita perlu yakin dan bangga dengan apa yang sudah kita lakukan. Kita perlu fokus untuk perlawanan seterusnya kerana saya rasa ini adalah caranya sebagai seorang yang profesional untuk mewakili negara.

"Pada masa sama, harus betulkan kesilapan dan tunjukkan semangat untuk mencapai sasaran seperti yang dimahukan penyokong, Inilah caranya kerana tiada masa untuk menyesal dan kecewa.

"Kita ada perancangan dan kini kita ada semangat berpasukan yang lebih tinggi. Apa yang pasti kita tidak boleh terlepas peluang untuk ke pusingan akhir dan pemain tahu betapa pentingnya perlawanan terakhir ini," katanya.

Sementara itu, Pan-gon juga mengakui tumpuannya lebih terarah kepada persiapan skuad negara dan enggan memikirkan sama ada Bangladesh akan menjadi lawan yang mudah buat anak buahnya.

"Saya mahu anak buah lebih lebih fokus pada pasukan kita. Strategiknya, kita mahu mendapatkan mata tetapi tiga aksi dalam tempoh tujuh hari adalah satu cabaran.

"Kita akan melakukan persiapan yang baik dan melihat kepada Bangladesh yang menggunakan skuad sama dalam dua perlawanan, mungkin kita ada kelebihan," katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2022 @ 1:15pm
d