Bola Sepak

Yashir tekad julang NSFC

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Pemain import yang baharu dibawa masuk dalam skuad Negeri Sembilan FC (NSFC), Yashir Pinto akui teruja kerana dapat beraksi kembali dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Selepas kali terakhir beraksi bersama PKNP FC pada 2019, Yashir, 31, bertekad untuk membuktikan kehadirannya bersama skuad Hobin Jang Hobin, dapat memberi impak yang positif dalam membantu kejayaan pasukan itu khususnya pada saingan Liga Super musim ini.

"Saya rasa amat teruja dan gembira kerana dapat berada di sini (NSFC) dan dapati pasukan ini bermain dengan baik musim ini.

"Justeru, saya bersedia untuk membantu pasukan ini meraih kejayaan yang cemerlang sepertimana ditetapkan musim ini. Pengalaman beraksi dengan beberapa pasukan dalam

Liga M sebelum ini akan membantu saya untuk lebih memahami sejarah bola sepak di negara ini.

"Saya dapat jangkakan Negeri Sembilan mampu meraih keputusan yang baik dalam liga dan akan berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan terutama dalam membantu membuat jaringan gol untuk kemenangan pasukan ini," katanya di sini, hari ini.

Pemain kelahiran Santiago, Chile itu yang sedang membentuk gandingan mantap bersama pemain tempatan dalam skuad berkenaan, akui bersedia untuk menunjukkan dedikasi dan sikap profesional yang tinggi sepanjang bersama Negeri Sembilan.

"Saya akan bekerja keras untuk mencabar kemampuan diri sama ada dalam latihan mahupun perlawanan dan mahu cepat membentuk keserasian yang baik dengan pemain lain berikutan tempoh yang singkat sebelum perlawanan menentang Melaka United, Sabtu ini.

"Malah, komitmen 100 peratus akan saya berikan kepada pasukan dalam setiap perlawanan dan berharap penyokong akan memberikan sokongan berterusan kepada pasukan ini," katanya.

Mengenai perlawanan menentang Melaka, Yashir berkata, dia akui pernah beraksi bersama pasukan itu pada 2017 dan mempunyai sedikit pengalaman biarpun pasukan lawan itu kini sudah banyak berubah.

"Saya berharap dapat diturunkan beraksi menentan Melaka pada Sabtu ini dan mahu membantu pasukan mencapai kemenangan," katanya yang mengakui gembira dengan sikap penyokong Negeri Sembilan kerana sentiasa tampil memberikan sokongan padu kepada pasukan itu.

Yashir yang memiliki ketinggian 1.85 meter bakal beraksi di bahagian tengah dan dia juga pernah mewakili pasukan kebangsaan Palestin dengan memiliki 19 penampilan.

Sebelum bersama Negeri Sembilan, dia pernah beraksi bersama pasukan Khon Kaen United

di Liga 1 Thailand.

Disiarkan pada: June 16, 2022 @ 1:58pm
d