Bola Sepak

Skuad B-23 akan dirombak, Maloney dalam bahaya

Oleh Syafiq Aznan

Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 tahun negara (B-23) akan berdepan 'rombakan' bagi memastikan ia selari dengan hala tuju skuad senior di bawah kendalian Kim Pan-gon.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, perubahan akan dilakukan untuk skuad B-23 selepas menerima laporan daripada barisan kejurulatihan skuad Harimau Muda.

"Kalau kita tidak boleh ubah ekosistem bola sepak secara keseluruhan, kita kena ubah daripada skuad B-23 dan saya ingin nyatakan akan ada perubahan untuk skuad B-23.

"Bukan nak kata tukar jurulatih, tetapi saya mahu menukar sesuatu supaya dapat mengikut pasukan kebangsaan.

"Bagi bola sepak antarabangsa, kita tidak boleh setakat ambil jurulatih dan buat sahaja.

"Untuk jadi lebih baik, kita kena berbelanja dan buat sesuatu mengenai barisan teknikal dan kejurulatihannya. Itu yang akan kita buat," kata Hamidin.

Sebagai rekod, skuad B-23 di bawah kendalian Brad Maloney berdepan tahun mengecewakan yang menyaksikan mereka gagal memperaga aksi terbaik dalam tiga pertandingan disertai.

Bermula dengan Kejuaraan B-23 AFF di Kemboja, skuad negara yang dibarisi skuad kedua diaibkan Laos menerusi dua kekalahan berturut-turut.

Pada temasya Sukan Sea di Hanoi, bulan lalu, skuad B-23 tanpa kelibat tiga pemain lebih usia pulang tangan kosong apabila tewas penentuan pingat gangsa di tangan seteru tradisi, Indonesia.

Pada Piala Asia B-23 di Uzbekistan, skuad negara gagal mengutip sebarang kemenangan apabila tewas ketiga-tiga perlawanan berdepan Korea Selatan, Thailand dan Vietnam.

Disiarkan pada: June 16, 2022 @ 9:50pm
d