Bola Sepak

Sri Pahang umum tiga import baharu

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pengurusan Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) mengumumkan empat pemain baharu, termasuk tiga import pada jendela perpindahan kedua.

Mereka ialah Steven Rodriguez, 24 dari Colombia, Kevin Ingreso, 29 (Filipina), Sherzod Fayziev, 30 (Uzbekistan) serta pemain tempatan, Mior Dani Armin Mior Ariffin, 23.

Menerusi hantaran Facebook rasmi Sri Pahang, tiga import baharu itu menggantikan Mahmoud Za'tara dari Jordan, Billy Ketkeophompone (Laos) dan Johan Martial (Perancis).

Rodriguez dibawa masuk menggantikan Za'tara, secara pinjaman selama enam bulan dari kelab Divisyen Satu Colombia, Independiente Medellin.

Ini adalah kali pertama Rodriguez akan bermain di Asia.

Sementara itu, Ingreso mengisi kekosongan ditinggalkan Ketkeophompone yang terpaksa digugurkan selepas mengalami kecederaan jangka panjang.

Sebagai rekod, Ingreso adalah pemain kelahiran Jerman dan memulakan kerjaya bola sepak d bersama Hamburger SV II pada 2011.

Pemain itu pernah beraksi dengan VfR Neumunster dan SV Drochtersen sebelum memilih berhijrah ke Asia Tenggara untuk beraksi bersama Ceres Negros pada 2015, yang kemudian membuka laluan buatnya menyertai skuad kebangsaan Filipina.

Sebelum menyertai Sri Pahang, Kevin beraksi secara pinjaman dari BG Pathum United di kelab Liga Thailand, Samut Prakan City dan kini cukup teruja mahu merasai cabaran baru di Liga Malaysia.

Fayziev pula akan memperkasa benteng skuad Tok Gajah dalam baki saingan musim ini.

Pemain kebangsaan Uzbekistan itu mengisi tempat Martial yang tidak dapat meneruskan khidmat dengan Sri Pahang kerana kecederaan.

Sebagai rekod, Fayziev sebelum ini pernah mewakili beberapa kelab tempatan di Uzbekistan antaranya Metallurg Bk, AGMK Olmaliq, Sogdiana dan Lokomotiv Tashkent merupakan kelab terakhirnya sebelum menyertai Sri Pahang.

Sri Pahang turut mengumumkan kemasukan Mior Dani Armin untuk memperkuatkan skuad itu.

Pemain kelahiran Selangor itu menyertai Sri Pahang secara pinjaman dari Kelantan FC sehingga akhir musim ini.

Disiarkan pada: June 17, 2022 @ 9:02pm
d