Bola Sepak

Harimau Malaya dapat durian runtuh RM880,000

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Walaupun belum beraksi di Piala Asia 2023, pasukan Harimau Malaya dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendapat 'durian runtuh' apabila bakal menerima RM880,000 (AS$200,000) selepas mengesahkan tiket ke kejohanan berprestij itu.

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul berkata, 24 pasukan bertanding di Piala Asia akan dijanjikan imbuhan terbabit bagi memudahkan persatuan bola sepak masing-masing melakukan persediaan rapi kelak.

"Betul, setiap pasukan yang mengesahkan tiket ke Piala Asia akan mendapat imbuhan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menerusi 'bonus' terbabit, sudah pasti ia membantu perancangan FAM mengatur persiapan lebih mantap sebelum berentap dengan gergasi Asia lain pada temasya berlangsung empat tahun sekali itu.

Hadiah kemenangan jika berjaya pergi lebih jauh sudah pasti 'menyemarakkan' semua pasukan bertanding, sekali gus menjanjikan saingan lebih sengit dalam pemburuan gelaran 'Raja Bolasepak Asia'.

Malah, FAM boleh membuat persiapan rapi dengan menambah baik lagi pasukan menerusi imbuhan bakal diterima itu.

Namun mereka perlu mara sehingga ke peringkat separuh akhir untuk menikmati hadiah kemenangan apabila AS$1 juta (RM4.4 juta) akan diterima empat pasukan terbaik kejohanan itu.

Pasukan yang bergelar juara akan menerima imbuhan AS$5 juta (RM22 juta) manakala naib juara menerima AS$3 juta (RM13.2 juta).

Mengikut rekod, hadiah kemenangan itu sama seperti dimenangi pasukan pada edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menyaksikan Qatar merangkul kejuaraan Asia pertama dengan menewaskan Jepun 3-1 manakala Iran dan UAE tumbang di separuh akhir.

Skuad Harimau Malaya boleh dikatakan mendapat 'durian runtuh' berganda apabila baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan mengadakan perbincangan bagi menentukan bentuk imbuhan akan diberikan kepada skuad Harimau Malaya dan pasukan hoki negara yang melayakkan diri ke Piala Dunia 2023.

Disiarkan pada: June 18, 2022 @ 4:33pm
d