Bola Sepak

Brendan sudah kembali

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Hampir setahun sepi daripada bola sepak selepas disahkan menghidap kanser testis pada Julai tahun lalu, kapten Selangor FC Brendan Gan akhirnya membuat 'comeback' dengan meledak gol pembukaan ketika pasukannya menumpaskan Sarawak United 7-0 malam tadi.

Kehadiran pemain yang pernah digelar jeneral Harimau Malaya ke kancah Liga Super sudah pastinya menggembirakan penyokong bola sepak tanah air kerana mampu menguatkan bahagian tengah pasukan kebangsaan seperti dipamerkannya pada aksi lalu.

Brendan berkata, sudah lama dia menantikan saat untuk kembali beraksi di atas padang selepas lama berehat berikutan menjalani rawatan susulan.

"Bola sepak adalah antara perkara yang saya minati dan ingin lakukan dalam hidup saya. Apabila diberikan kesempatan beraksi bersama pasukan sudah tentunya ia cukup menggembirakan saya.

"Sudah lama saya menantikan saat ini kerana ia cukup bermakna buat saya dan keluarga.

"Terima kasih kepada semua sokongan yang diberikan. Ia memang sangat bermakna dan saya akan balasnya dengan aksi 100 peratus di atas padang," katanya.

Pada perlawanan malam tadi menyaksikan Brendan menjadi pencetus kemenangan besar 7-0 skuad Gergasi Merah ke atas Sarawak United pada aksi Liga Super.

Pemain berusia 34 tahun itu, memulakan kenduri gol seawal minit ketujuh buat Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, apabila menggegarkan jaring dengan merembat masuk bola hantaran Quentin Cheng.

Aksi itu adalah perlawanan liga pertama buat Brendan yang disahkan menghadapi kanser testis pada Julai tahun lalu.

Turut menyumbang jaringan pada aksi itu adalah penyerang import dari Brazil, Hyuri Henrique, Nor Hakim Hassan dan , Aliff Haiqal Lokman manakala Herlison Caion beraksi cemerlang apabila melakukan hatrik untuk Selangor FC untuk kemenangan 7-0.

Sementara itu, ketika ditanya kemungkinan untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya, Brendan berkata tumpuan sekarang adalah untuk memperbaiki kelemahan diri dan membantu Selangor FC memperoleh keputusan positif.

Disiarkan pada: June 20, 2022 @ 1:35pm
d