Bola Sepak

Zhafri idam kembali sertai Harimau Malaya

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Zhafri Yahya tekad untuk kembali 'mengetuk' pintu skuad kebangsaan selepas gagal memikat hati pengendali Harimau Malaya itu, Kim Pan-gon sebelum ini.

Pemain kelahiran Selangor berusia 27 tahun itu berkata, kempen Piala AFC menjadi medan terbaik buat dirinya untuk membuktikan kemampuannya sekali gus mengintai peluang untuk disenaraikan semula dalam skuad negara.

Bagaimanapun katanya, bukan tugas mudah untuk memikat hati pengendali kelahiran Korea Selatan itu lebih-lebih saingan untuk merebut tempat dalam kem kebangsaan kian sengit.

"Pemain mana yang tidak memasang impian untuk menyarung jersi skuad kebangsaan lebih-lebih lagi skuad negara kini sudah berada dalam kelasnya yang tersendiri selepas layak beraksi dalam pentas Piala Asia 2023 sesudah 42 tahun menanti detik bersejarah itu.

"Namun Pan-gon sudah pasti mempunyai perancangan yang lebih baik, tapi saya sesekali tidak akan putus asa, sebagai pemain saya perlu meningkatkan lagi prestasi dan memperbaiki kelemahan yang ada.

"Besar impian saya agar mampu memperagakan aksi terbaik dalam kancah Piala AFC yang bermula Jumaat ini selain kancah Liga Malaysia (Liga M)," katanya ketika ditemui selepas aksi Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) malam kelmarin.

Terdahulu pemain meningkat naik itu berada dalam senarai 25 pelatih skuad kendalian Pan-gon ketika aksi pemanas badan di Singapura, Mac lalu, bagaimanapun bekas pemain Selangor itu terpaksa mengucapkan selamat tinggal kerana tidak terpilih dalam pusingan kelayakan Piala Asia.

Musim ini pemain berketinggian 1.69 meter itu yang membantu skuadnya merangkul gelaran juara Piala Malaysia musim lalu menumpaskan gergasi Liga M, Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan kemenangan 2-0 sudah meledak tiga gol dalam saingan Liga Super dan satu gol dalam aksi Piala FA.

Disiarkan pada: June 20, 2022 @ 9:37pm
d