Bola Sepak

Penang FC tanpa Casagrande esok

Oleh Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Penyerang import Penang FC, Anselmo Arruda da Silva disahkan mengalami keretakan tulang pipi kanan atau zygomatic arc ketika aksi Liga Super menentang Petaling Jaya City FC Sabtu lalu.

Ketua Jurulatih Penang FC, Zainal Abidin Hassan berkata, pemain yang dikenali sebagai Casagrande itu selamat menjalani pembedahan petang semalam dan kini sedang dalam proses pemulihan.

"Casagrande tidak dapat diturunkan esok. Kecederaannya dijangka mengambil masa lebih sebulan untuk pulih," katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, laman Facebook Penang FC dalam satu kenyataan mengumumkan kemasukan Faizal Talib yang dipinjamkan pasukan Melaka United FC kepada skuad Harimau Kumbang sehingga penghujung musim 2022.

Menurut kenyataan itu, pemain berusia 25 tahun berkenaan mempunyai kemampuan bermain di posisi tengah selain menjadi penyerang.

Dalam masa yang sama, pemain sayap Penang FC, Hamran Peter secara rasmi telah dipinjamkan kepada Melaka United FC sehingga penghujung musim 2022.

Penang FC dijadual melayan kunjungan Terengganu FC dalam misi mengutip tiga mata penuh di Stadium Bandaraya malam esok.

Disiarkan pada: June 21, 2022 @ 2:33pm
d