Bola Sepak

Wanja mahu buru gol di Bali

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Penyerang utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Ronald Ngah Wanja bertekad mengekalkan ketajamannya buat Sang Kenari pada saingan Piala AFC di Bali, Indonesia yang bermula Jumaat ini.

Reputasi sebagai penjaring terbanyak Liga Jordan musim lalu dan diikuti tujuh gol dalam saingan Liga Super setakat ini sudah pasti menjadi bekalan terbaik untuk bekas penyerang kebangsaan Cameroon ini mempamerkan bisanya.

Kekuatan serangan KDA FC juga dijangka meningkat dengan kehadiran dua lagi pemain import terbaru dalam pasukan - Mahmoud Al-Mardi dari Jordan dan Sanrawat Dechmitr dari Thailand yang diumumkan sebelum skuad Sang Kenari bertolak ke Bali.

"Saya mengidamkan jaringan di pentas Piala AFC ini kerana bagi sorang penyerang, sudah pasti mencetak seberapa banyak gol adalah impian utama.

"Itu sasaran semua penyerang di bahagian paling hadapan, namun hantaran gol untuk membantu pasukan mendapatkan gol juga perkara penting kerana misi semua pemain KDA FC adalah memastikan pasukan dapat mencapai kemenangan.

"Hanya kemenangan hadiah terbaik yang dapat kami berikan kepada semua penyokong yang sentiasa menanti dan mengharapkan kejayaan kami pada saingan tertinggi ini," kata Wanja.

Perlawanan pertama KDA FC pada saingan Piala AFC juga bakal menemukan rakan senegara Wanja dari Cameroon iaitu Privat Mbarga yang menjadi antara tenaga penggempur skuad Bali United FC.

Disiarkan pada: June 22, 2022 @ 5:28pm
d