Bola Sepak

KL City FC mahu buktikan sesuatu di Piala AFC

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pentas Piala AFC bukanlah kejohanan 'biasa-biasa', sekali gus menuntut barisan pemain Kuala Lumpur (KL) City FC mempamerkan aksi terbaik pada pertemuan pertama kumpulan H menentang PSM Makassar, esok.

Pengendali KL City FC, Bojan Hodak berkata, pertembungan di pentas Piala AFC tidak seperti saingan Liga Super kerana mereka bakal berentap bersama pasukan hebat selain mempunyai barisan pemain berpengalaman untuk merobek gawang lawan.

Beliau berkata, walaupun majoriti anak buahnya kali pertama beraksi di saingan Piala AFC, itu bukanlah alasan untuk mereka mengangkat bendera putih, sebaliknya bersedia memberikan tentangan sengit dalam usaha menempah tiket ke pusingan seterusnya.

Katanya, PSM Makassar sudah pastinya akan menggunakan senjata rahsia mereka berdasarkan kepada beberapa pemain bakal diturunkan seperti Muhammad Arfan, Yakob Sayuri dan Rizky Eka Pratama.

"Mereka mempunyai dua pemain import berbahaya dan dibantu pemain tempatan seperti Rizky dan Yakob. PSM Makassar pasukan yang bahaya jika diberi ruang dan boleh memusnahkan impian kami.

"Kami akan cuba menguasai bahagian tengah kerana Arfan adalah pemain penting mereka. Jika kami boleh menyekat dia, saya fikir ia memberi kelebihan kepada kami," katanya.

KL City FC akan beraksi dua perlawanan dan selepas menentang PSM Makassar, mereka akan berdepan wakil Singapura, Tampines Rovers pada 30 Jun ini.

Selain itu, Hodak menegaskan pasukannya perlu melupakan beberapa keputusan mengecewakan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini termasuk 0-2 di tangan Terengganu FC (TFC), Sabtu lalu.

Malah, dia turut meminta penyokong KL City membanjiri stadium bagi perlawanan malam esok selepas menjangkakan peminat PSM Makassar akan hadir memberi sokongan kepada pasukan mereka.

"Anda tidak boleh terlalu memikirkan perlawanan lalu dan perlu fokus perlawanan seterusnya. Saya berasa pemain menanti Piala AFC ini, mereka mahu mencapai sesuatu dan akan fokus kepada perlawanan.

"Perlawanan berdepan TFC adalah sukar dan saya rasa ia membantu kami mempersiapkan pasukan untuk perlawanan esok," katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2022 @ 2:59pm
d