Bola Sepak

Mat Don akui menangis digugur Pan-gon

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Siapa kata tonggak naturalisasi tiada semangat patriotik seperti mana pemain tempatan.

Sebaliknya semangat dan jiwa sayangkan negara turut berakar dalam sanubari pemain naturalisasi.

Situasi itu diakui sendiri pemain naturalisasi kedua skuad Harimau Malaya, Liridon Krasniqi yang mendedahkan dirinya menangis sebaik digugurkan daripada kem negara beberapa hari sebelum kempen Kelayakan Piala Asia berlangsung di Bukit Jalil dua minggu lalu.

Katanya, tanpa berselindung dia yang juga pemain kelahiran Kosovo akui sedih tidak dapat membantu pasukan kebangsaan ketika dirinya dapat merasai skuad kendalian Kim Pan-gon itu dapat melakukan kejutan di saingan itu.

"Apabila jurulatih memberitahu saya berita itu (tidak tersenarai dalam skuad akhir), saya menangis dan sedih kerana bagi saya semua mengenai kemenangan dan mencipta sejarah terutamanya untuk negara yang saya sayang dan saya sanggup mati untuknya," tulisnya di laman Instagram miliknya.

Jelasnya lagi, masalah kecederaan yang dialaminya adalah punca mengapa dirinya terpaksa digugurkan oleh Pan-gon.

"Saya mengalami sedikit kecederaan semasa kem dan tidak dapat mempamerkan prestasi sebenar, jadi kami membuat keputusan untuk pulih dahulu kemudian bangkit semula.

"Saya berusaha setiap hari tetapi ia tidak berkesan dengan semua kesakitan ini tiada siapa yang tahu. Saya mengorbankan kesihatan saya untuk memberikan seluruh negara apa yang mereka harapkan, tetapi malangnya saya tidak dapat," katanya.

Tambahanya lagi, dia akan bangkit kembali dan cuba menambat semula perhatian barisan kejurulatihan negara selepas ini.

"Ini bukan penamat era Matdon (panggilan samarannya dikalangan peminat tempatan). Saya kenal diri saya, saya tahu apa yang saya mampu lakukan. Saya sayang Malaysia dan saya sayang rakan sepasukan.

"Saya tidak pernah melihat begitu banyak perasaan sayang dan mesej yang indah melebihi 20 ribu mesej yang positif, ini memberi saya banyak harapan dan gembira untuk kembali lebih kuat."

Skuad Harimau Malaya melakar sejarah apabila layak ke Piala Asia secara merit selepas muncul naib juara terbaik untuk menamatkan badi 43 tahun beraksi di pentas tertinggi itu.

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 6:41pm
d