Bola Sepak

Saham Harimau Malaya mula naik, terima banyak undangan

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Kehebatan skuad Harimau Malaya melangkah ke Piala Asia 2023, baru-baru ini membuka mata beberapa negara untuk menguji kemampuan pasukan kendalian Kim Pan-gon dalam tempoh terdekat ini.

Malah, skuad Harimau Malaya yang kurang mendapat perhatian sebelum ini, kini boleh dikatakan sudah mula menjadi perhatian apabila mendapat undangan untuk menyertai perlawanan jemputan membabitkan beberapa pasukan berada di ranking lebih baik.

Situasi terbabit diakui Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Saifuddin Abu Bakar apabila ketika ini skuad Harimau Malaya mendapat beberapa undangan daripada pihak tertentu untuk menyertai perlawanan jemputan sebaik selesai perlawanan kelayakan Piala Asia 2023, baru-baru ini.

Enggan mendedahkan secara terperinci berkaitan perlawanan jemputan itu, Saifuddin berkata, pihaknya belum membuat keputusan kerana mahu berbincang terlebih dahulu bersama Pan-gon mengenai perancangan pengendali terbabit.

"Sekarang ini, kita menyerahkan kepada Pan-gon untuk menentukan bagaimana mahu melakukan persediaan rapi membabitkan skuad Harimau Malaya sebelum menyertai Piala Asia tahun depan.

"Apa yang boleh saya katakan, sejak kita berjaya menempah tiket ke Piala Asia, terdapat pihak tertentu menjemput Harimau Malaya untuk menyertai perlawanan jemputan dianjurkan mereka.

"Mungkin perlawanan terbabit akan diadakan pada kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) pada September depan.

"FAM perlu mengambil kira segala aspek termasuk berbincang bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kerana tidak mahu mengganggu perjalanan liga kerana ketika itu kelab membuat persediaan mengharungi Piala Malaysia," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Harimau Malaya akan menggunakan tempoh kira-kira setahun untuk melakukan persiapan rapi bagi mengelak menjadi mangsa buli kepada pasukan besar di Piala Asia 2023.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya akan berbincang dengan Pan-gon mengenai perancangan harus dilakukan dalam mempersiapkan skuad Harimau Malaya supaya lebih mantap.

Beliau berkata, persiapan itu termasuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan lebih besar dan tidak lagi boleh menumpukan kepada lawan dari rantau Asia Tenggara.

Selain itu, terdapat cadangan supaya skuad kebangsaan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan dari Eropah sebagai persiapan ke Piala Asia tahun depan.

Disiarkan pada: June 26, 2022 @ 6:01pm
d