Bola Sepak

KDA FC mengamuk di Bali

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Kedah Darul Aman (KDA) FC akhirnya mempamerkan taring sebenar apabila menewaskan Kaya FC 4-1 pada aksi kedua Kumpulan G Piala AFC di Bali, Indonesia, malam ini.

Kejayaan itu menghidupkan peluang buat skuad kendalian Aidil Sharin Sahak untuk menempah tiket ke pusingan seterusnya selepas meraih tiga mata penting pada perlawanan di Stadium Kapten I Wayan Dipta itu.

Pujian harus diberikan kepada penyerang kelahiran Cameroon, Ronald Ngah Wanja apabila meledak satu gol selain mencipta dua umpanan jaringan untuk membantu KDA memenangi perlawanan terbabit.

Gol pertama terhasil apabila Ngah Wanja melorongkan bola cantik kepada Muhammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin sebelum pemain terbabit mengegarkan gawang lawan pada minit ke-57.

Tidak terhenti di situ, penyerang yang pernah membuat dua penampilan bersama Cameroon terus menjadi duri dalam daging buat Kaya FC apabila menggunakan kepantasannya menggelecek pertahanan lawan sebelum membuat hantaran kepada pemain import dari Jordan, Mahmoud Al-Mardi untuk gol kedua pasukan pada minit ke-63.

Tidak lama kemudian, giliran Ngah Wanja mencipta nama selaku penjaring apabila menyudahkan gol ketiga KDA FC pada minit ke-82.

Kaya FC yang sudah tersingkir daripada saingan Piala AFC memperoleh jaringan sagu hati menerusi Javier Gayoso pada minit ke-86.

Fayyadh turut mencuri tumpuan apabila meledak jaringan kedua peribadi untuk memberikan gol keempat Kedah pada minit ke-93.

KDA FC mempunyai satu lagi baki perlawanan Kumpulan G apabila dijadualkan akan bertemu Visakha FC Khamis ini.

Disiarkan pada: June 27, 2022 @ 11:29pm
d