Bola Sepak

Harimau Malaya uji taring September, November

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Dua jendela aksi antarabangsa pada September dan November ini akan dimanfaatkan sebaiknya bagi menajamkan lagi 'taring' skuad Harimau Malaya menjelang saingan Piala AFF, Disember ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, pasukan negara akan menggunakan dua tempoh jendela itu untuk mempersiapkan skuad kebangsaan.

"Kita akan menggunakan dua kali jendela perlawanan antarabangsa itu untuk persiapan pasukan negara kita. Jurulatih (Kim Pan-gon) sedang membuat perancangan dan kita akan gunakan sebaiknya bagi memastikan pasukan negara bersedia sebelum Piala AFF nanti.

"Kita akan umumkan lokasi latihan dan siapa lawan untuk perlawanan persahabatan itu nanti. Lagipun kita masih menunggu pengesahan daripada pasukan lain dan ia akan dimuktamadkan nanti," katanya.

Pan-gon yang berjaya menamatkan badi layak ke Piala Asia secara merit selepas menunggu hampir 43 tahun dijangka memilih pasukan yang berada pada ranking tinggi bagi menguji skuad negara dalam dua jendela aksi persahabatan itu nanti.

Malaysia kini menghuni tangga ke-147 dunia selepas naik tujuh anak tangga daripada kedudukan 154 sebelum ini.

Kenaikan mendadak itu susulan kejayaan skuad Harimau Malaya menundukkan dua pasukan berada pada ranking lebih baik iaitu Hong Kong dalam aksi persahabatan bulan lalu dan Turkmenistan pada Kelayakan Piala Asia untuk mengumpul 1,057 mata keseluruhan.

Ini bermakna, negara seperti India (ranking ke-104), Tajikistan (ranking ke-108) dan Korea Utara (ranking ke-112) antara calon pasukan dari Asia yang boleh dipertimbangkan oleh Pan-gon untuk aksi persahabatan pada September dan November ini.

Disiarkan pada: July 6, 2022 @ 4:07pm
d