Bola Sepak

Nasib Maloney akan ditentukan 21 Julai ini

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Status pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney hanya akan diketahui selepas selesai Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 21 Julai ini dan bukannya Rabu ini.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar, Rabu ini hanyalah mesyuarat untuk mendengar dan menilai laporan prestasi pasukan itu sebelum ini.

Katanya dalam mesyuarat itu nanti, Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell akan membentangkan dan mencadangkan penambahbaikan pasukan di depan Presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin dan ahli teknikal yang lain.

"Kita hanya bawak laporan-laporan teknikal dan terpulang kepada jawatankuasa untuk menilai laporan itu dan mereka akan buat keputusan.

"Tapi apa-apa keputusan hanya akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Eksekutif pada 21 haribulan. Selalunya selepas Jawatankuasa Eksekutif bermesyuarat, kita akan da sidang media dan masa itu mungkin ada keputusan yang sudah diputuskan," katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, kedudukan Maloney dikatakan seperti 'telur dihujung tanduk' ekorang kegagalan pasukan B-23 menyinar di tiga kejohanan bermula daripada saingan Piala AFF B-23 di Kemboja diikuti temasya Sukan Sea Vietnam dan Piala Asia B-23 di Uzbekistan.

Di Piala AFF pada bulan Februari itu, Malaysia terkandas di peringkat Kumpulan B apabila tewas dua kali di tangan Laos yang sebenarnya cukup memalukan.

Di Sukan Sea pula, perjalanan skuad negara terhenti di separuh akhir selepas tewas kepada tuan rumah Vietnam dan kemudiannya gagal di penentuan pingat gangsa kepada Indonesia.

Rentak sumbang terus diperagakan di Piala Asia apabila skuad muda negara tumbang dalam semua tiga aksi Kumpulan C.

Disiarkan pada: July 11, 2022 @ 1:25pm
d