Bola Sepak

Khalid seru lebih ramai penyokong KL turun padang

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Aksi gemilang skuad bola sepak Kuala Lumpur City FC (KL City) sejak dua musim lalu termasuk menjuarai Piala Malaysia serta layak ke pusingan separuh akhir Piala AFC Zon Asean musim ini adalah kebanggaan warga Kuala Lumpur.

Begitupun, sokongan daripada penyokong skad The City Boys masih lagi rendah dan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad menyeru lebih ramai penyokong turun ke stadium bagi menyokong pemain KL City.

Jelasnya, prestasi yang ditunjukkan skuad bimbingan Bojan Hodak itu seharusnya menjadi justifikasi supaya lebih ramai penyokong dapat hadir menzahirkan sokongan mereka kepada pasukan itu.

"Kadangkala kita beraksi di stadium sendiri tetapi malangnya, nampak seperti kita main di stadium orang lain. Nampaknya penyokong luar yang lebih ramai lagi lagi kalau beraksi menentang pasukan yang besar dan ternama.

"Contohnya seperti aksi menentang Sri Pahang FC dan Melaka United (MU) sebelum ini, kita seolah olah tidak pasti kita bermain di stadium mana.

"Jadi saya menyeru warga Kuala Lumpur yang memiliki visi, wawasan dan harapan yang sama dengan kami yang mahu menjadikan pasukan ini seperti mana yang boleh dibanggakan. Kita mahu mereka bersama kita.

"Penyokong janganlah setakat ikut pasukan menerusi Youtube ataupun di rumah, zahirkan sokongan anda dengan hadir ke stadium bagi menjayakan usaha kita ini," kata Khalid.

Untuk rekod, KL City berjaya menamatkan kemarau 32 tahun memenangi Piala Malaysia apabila menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-0 di pentas final, tahun lalu.

Disiarkan pada: July 11, 2022 @ 1:32pm
d