Bola Sepak

SNBJ sedia jadi gelanggang aksi Piala AFF

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: "Kami tak ada masalah, terpulang kepada pihak yang pakar seperti FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan AFF (Persekutuan Bolasepak Asean) untuk guna atau tidak.

"Di pihak kami, saya boleh sahkan kami sudah baiki dan jaga sebaik mungkin padang termasuk menutup terus penggunaan padang selepas habis Kelayakan Piala Asia 2023, bulan lalu."

Demikian reaksi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd Faidz Sanusi yang mengakui sentiasa terbuka membenarkan skuad Harimau Malaya beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi menghadapi dua aksi peringkat kumpulan Piala AFF, hujung tahun ini.

Jelasnya, PSM tidak menghalang untuk pemain negara beraksi di gelanggang keramat itu kerana venue itu sudah 'dicop' sebagai kandang rasmi skuad Harimau Malaya berdasarkan kerjasama sebelum ini.

"Buat pengetahuan, kita sudah tutup terus padang daripada digunakan. Tidak ada perlawanan dibenarkan sejak (kelayakan) Piala Asia.

"Kita tutup kerana PSM memberi fokus membaik pulih padang dan bagi saya padang ketika ini sudah berada dalam keadaan yang baik.

"Cuma ia terpulang kepada FAM dan AFF kerana mereka lebih pakar mengenai perkara itu. Jika mereka rasa padang dalam keadaan baik dan tidak mendatangkan kecederaan, kita tak ada masalah nak benarkan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan FAM mungkin memilih venue di luar Lembah Klang sebagai lokasi aksi Piala AFF jika penggunaan SNBJ tidak mendapat kelulusan daripada AFC bagi melangsungkan dua aksi Piala AFF hujung tahun ini.

Ia ekoran isu rumput dan air bertakung di padang ketika kempen Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 yang menyaksikan AFC seolah-olah 'merajuk' dan enggan membenarkan aksi antarabangsa diadakan di situ selagi masalah itu tidak diatasi.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John menjelaskan pihaknya tidak ada halangan jika SNBJ digunakan bagi Piala AFF kerana saingan serantau itu bukanlah kejohanan rasmi di bawah Fifa dan ia hak AFF untuk meluluskan.

Sementara itu ditanya mengenai penukaran rumput di SNBJ, Faidz berkata, pihaknya sedang berurusan dengan beberapa agensi kerajaan seperti Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Kewangan bagi mendapatkan dana termasuk tajaan diumumkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Kerja penukaran rumput akan dimulakan Mac tahun depan. Seperti diumumkan sebelum ini, dana diberikan Tunku Ismail akan digunakan dan ia perlu melalui Kementerian Kewangan," katanya.

Pada Mac lalu, dilaporkan rumput jenis Cowgrass di SNBJ akan ditukar kepada rumput jenis Zeon Zoysia yang ditaja Tunku Ismail dengan kos mencecah RM1.4 juta.

Disiarkan pada: July 12, 2022 @ 5:10pm
d