Bola Sepak

Kad merah punca Penang kecundang

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Layangan kad merah yang diterima pemain pertahanan Penang Sukri Hamid sudah cukup membuatkan pasukan terbabit 'huru-hara' hingga menyebabkan mereka tewas 2-0 di tangan Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.

Ketua jurulatih Penang, Zainal Abidin Hassan mengakui amat kecewa dengan kekalahan itu terutama selepas anak buahnya memberikan aksi terbaik dan berjaya mengekang asakan lawan sejak di awal permainan.

Zainal berkata, anak buahnya mempamerkan aksi konsisten sebelum terjejas selepas Sukri diperintah keluar padang pada minit ke-68.

"Disiplin pemain sangat tinggi dan kita bertahan dengan baik. Tapi malangnya seorang pemain dibuang padang dan inilah yang membinasakan kami.

"Bagi saya bukan nak kata punca (utama), tapi saya tak menafikan kerana saya berasa lebih 60 minit kita bermain dengan baik dengan tidak beri ruang atau peluang kepada lawan.

"Tapi bila kekurangan seorang pemain, jadi inilah yang membinasakan kami dan saya akan teliti semula (insiden) kad merah itu.

"Saya tak nafikan dengan kad merah itu mengucar-kacirkan atau menyebabkan pasukan kelam kabut dan kita didera pasukan lawan," katanya.

Berikutan itu, kekalahan terbabit menyebabkan Penang kekal di kedudukan tercorot selepas hanya berjaya mengumpul tujuh mata dalam 11 perlawanan yang diharungi musim ini.

Disiarkan pada: July 17, 2022 @ 7:54pm
d