Bola Sepak

Liga M ala Eropah musim depan

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Selepas sekian lama menanti saingan liga ala Eropah, akhirnya Liga Malaysia (Liga M) 2023 dijangka bakal berwajah baharu dengan beberapa perubahan akan dilaksanakan dalam sistem piramid liga domestik.

Menurut sumber, difahamkan mulai musim depan saingan Liga Super akan menyaksikan penambahan pasukan sebanyak 18 kelab berbanding 12 yang bersaing dalam divisyen utama Liga M itu.

Penambahan enam pasukan itu adalah menerusi kemasukan kelab dari Liga Perdana bagi mencukupkan kuota 18 pasukan di Liga Super musim depan, manakala pasukan berstatus 'feeder' pula akan beraksi di Liga Simpanan yang dijangka menjadi medan pemain di bawah umur 23 tahun untuk mengasah bakat.

Liga M3 yang ketika ini bertaraf amatur akan diberi nafas baharu dengan berstatus semi profesional sekali gus diletakkan sebagai divisyen kedua Liga M di belakang Liga Super.

Ini bermakna, dua pasukan tercorot daripada saingan utama akan diturunkan pangkat ke liga kedua pada musim berikutnya.

Perubahan sistem Liga M itu menyaksikan sebanyak 34 perlawanan bakal ditempuh 18 pasukan Liga Super sepanjang musim yang dilangsungkan secara dua pusingan di tempat sendiri dan lawan.

Penambahan perlawanan bukan itu bukan saja meningkatkan prestij dan tahap kompetitif, malah setiap pemain juga bakal meraih minit permainan yang tinggi berbanding 22 aksi semusim sebelum ini.

Penajaan daripada syarikat swasta dan korporat juga dijangka bertambah kerana ia akan menyaksikan pulangan pelaburan (ROI) berterusan disebabkan kepadatan jadual perlawanan semusim tanpa rehat terlalu panjang.

Difahamkan, semua pasukan maklum mengenai perubahan itu dan satu Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Luar Biasa Kali Ke-3 yang berlangsung esok akan memuktamadkan sekali gus diumumkan kepada pihak media sejurus tamat mesyuarat itu.

Untuk rekod, cadangan 18 pasukan itu adalah yang pertama dalam saingan liga tempatan sejak dianjurkan dari 1982 sehingga pengenalan Liga Super.

Disiarkan pada: July 19, 2022 @ 6:17pm
d