Bola Sepak

Tunggakan gaji, hanya dua kelab bermasalah

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Isu tunggakan gaji dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) masih wujud namun ia tidak seteruk beberapa musim lalu.

Perkara itu diakui Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan yang mendedahkan daripada tunggakan RM20 juta kini ia dapat dikurangkan kepada RM4 juta sahaja.

Katanya, penyusutan hutang berkenaan adalah disebabkan oleh kejayaan penswastaan yang dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL yang menyaksikan kelab mula berbelanja secara berhemah untuk mengelak daripada dibelenggu masalah tunggakan gaji.

Malah katanya, setakat hari ini, hanya dua kelab saja didapati berdepan masalah itu.

"Masalah gaji ini memang ada tapi tak semua pasukan, hanya dua pasukan saja yang ada masalah.

"Oleh sebab itu, kita di peringkat perlesenan sendiri menekankan dengan begitu teliti yang mana kita akan memeriksa setiap minggu tentang status kelab-kelab ini," katanya.

Ujarnya lagi, pasukan yang mengalami masalah tunggakan gaji tidak 'lari' sebaliknya hanya lewat membayar daripada tarikh yang sepatutnya.

"Tetapi kalau kita lihat pun, ia bukan gagal bayar gaji sebaliknya lambat bayar sahaja. Banyak perubahan yang berlaku sejak FAM dan MFL membuat penstrukturan dari FA kepada FC," katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2022 @ 1:00pm
d