Bola Sepak

Risau kelab 'bungkus' sebelum liga berakhir - Ismail

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: "Saya risau sebelum liga berakhir, ada kelab yang 'bungkus' lebih awal atau sekadar mengambil bahagian," kata jurulatih berpengalaman, Ismail Zakaria.

Bekas jurulatih Kuala Lumpur itu berkata demikian sebagai mengulas penstrukturan baharu yang bakal diperkenalkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mulai musim depan dengan menghimpunkan 18 pasukan dalam Liga Super berbanding 12 pasukan musim ini.

Jelas Ismail yang juga bekas jurulatih bola sepak pantai negara, beliau tidak menafikan idea daripada badan pengelola liga itu adalah bagus dan bertaraf antarabangsa, namun kelab yang bertanding perlu diberikan masa yang mencukupi sebagai persediaan kerana impaknya kepada pasukan yang tidak mempunyai dana yang kukuh.

"Sejujurnya saya bersetuju dengan idea MFL itu, saya juga tidak menentang, cuma keadaan ketika ini saya berpandangan tidak begitu sesuai kerana terlalu terburu-buru, sepatutnya badan induk bola sepak negara memberikan notis lebih awal dan masa yang mencukupi kepada kelab sekurang-kurangnya musim 2024 pelaksanaan sebagai persediaan mereka daripada pelbagai sudut termasuk kewangan dan penstrukturan semula pasukan.

"Selain itu bersediakah pasukan yang bakal beraksi dalam saingan Liga Super bermain 34 perlawanan semusim, sedangkan beraksi 22 perlawanan sebelum ini pun nampak tempang, inikan pula nak beraksi dengan perlawanan yang banyak? Lagilah masalah.

"Saya berpandangan jika penstrukturan itu diteruskan juga pada musim depan, Liga Malaysia (Liga M) kurang meriah selain akan timbul jurang yang besar antara pasukan yang mempunyai dana yang kukuh dengan pasukan yang dananya hanya cukup-cukup makan sahaja kerana sudah pasti kosnya meningkat sekali ganda sekali gus berkemungkinan bakal ada kelab yang 'bungkus' awal," katanya yang memaklumkan kini ada beberapa pasukan begitu tenat mengenai masalah kewangan.

Mengulas lanjut, Ismail yang pernah membawa pasukan UiTM FC beraksi di pentas Liga Super 2020 dan skuad Sime Darby FC beraksi dalam Liga Perdana pada 2011 mencadangkan liga simpanan yang bakal diperkenalkan perlu lebih banyak perlawanan sebagai pendedahan kepada pemain muda, bukannya Liga Super yang menelan bajet yang besar.

"Sepatutnya liga simpanan yang tidak mempunyai pemain import perlu lebih banyak perlawanan sebagai pendedahan kepada mereka sebagai persediaan beraksi di pentas tertinggi berbanding Liga Super yang pasti didominasi pemain import.

"Impaknya, pasukan kebangsaan akan rugi kerana pemain terpilih tidak dapat mempamerkan aksi terbaik kerana kurang minit perlawanan sebab sudah pasti kelab lebih cenderung untuk menyenaraikan tonggak import.

Disiarkan pada: July 23, 2022 @ 1:27pm
d