Bola Sepak

Winning mentality nadi JDT

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: 'Winning mentality' menjadi nadi kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk mara ke separuh akhir Piala FA menerusi jaringan masa kecederaan menewaskan Melaka United (MU) 2-1 pada saingan suku akhir di Stadium Hang Jebat Paya Rumput malam tadi.

Jurulatih kecergasan JDT, Jorge Alvarez berkata, mentaliti terbabit amat dipuji kerana usaha buruan jaringan bermula pada minit awal permainan menerusi jaringan Hazwan Bakri yang berterusan pada saat akhir permainan melalui tandukan Bergson Da Silva .

Katanya, dia juga gembira pemain mempersembahkan corak permainan yang direncana untuk dengan mencipta banyak peluang jaringan sepanjang minit perlawanan, walaupun cuba dicabar skuad tuan rumah.

Dalam masa sama dia memuji Bergson yang disifatkan berkelas dunia selepas dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua perlawanan.

Baginya kemasukan Bergson berjaya mengubah corak tekanan dalam memburu jaringan ketika tuan rumah juga berusaha untuk menafikan setiap percubaan yang dilakukan.

"Bergson pemain yang berkelas tinggi. Selepas pulih dari kecederaan dia menunjukkan persembahan yang amat baik dan apabila diturunkan dia mampu mencipta jaringan kemenangan pada malam ini.

"Tahniah kepada semua pemain atas peranan mereka sepanjang perlawanan dengan menunjukkan 'winning mentality' sehingga saat terakhir permainan," katanya.

Alvarez berkata, perlawanan getir itu bagaimanapun berjaya disudahkan dengan cemerlang dengan pemain menterjemah perancangan pasukan terbabit terutama meraih banyak peluang merekodkan jaringan namun akhirnya kejayaan dicipta pada minit-minit akhir perlawanan.

Bagi pembimbing Melaka United (MU) Mohd Asri Ninggal pula tetap memuji persembahan pemainnya yang kental menutup ruang dalam perlawanan berkenaan walaupun jaringan awal lawan menerusi Hazwan memberi tekanan kepada pasukannya.

Menurutnya, Melaka tidak bernasib baik kerana tewas pada minit akhir perlawanan walaupun Sony Nordes berjaya menyamakan kedudukan penghujung saingan menerusi sepakan penalti.

Disiarkan pada: July 24, 2022 @ 12:52pm
d