Bola Sepak

Ini baru permulaan - Mintah

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Dua jaringan Jordan Mintah ketika bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC seharusnya memberi amaran awal kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) bahawa mereka tidak berdepan tugas mudah apabila berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Sultan Ibrahim, Isnin ini.

Mintah akhirnya memecah kebuntuan selepas tiga perlawanan apabila menyumbang dua gol untuk skuad warga kota ketika melakar kemenangan 2-1 ke atas KDA FC, Rabu lalu.

Penyerang berasal dari Ghana itu berharap kejayaan membuka akaun jaringan bersama KL City hanyalah sebagai permulaan dalam meledak lebih banyak gol bersama pasukan.

Kemenangan KL City ke atas KDA FC juga pasti melonjakkan semangat anak buah Bojan Hodak yang melalui prestasi tidak menentu sebelum ini.

"Rasa sangat bersyukur kerana dapat menjaringkan gol tetapi saya juga mahu ucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan yang sentiasa memberikan sokongan.

"Saya hampir mendapatkan hatrik namun tuah tidak bersama saya tetapi apa lebih penting kami berjaya raih kemenangan selepas beberapa perlawanan," kata Mintah.

Pemain berusia 26 tahun yang dipinjamkan ke KL City dari Terengganu FC ll itu mengakui mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan pasukan baharunya.

"Memang memakan masa bagi saya mendapatkan keserasian kerana hadir ke sini (KL City) semasa pintu perpindahan kedua pemain hampir ditutup.

"Kini saya sudah mula memahami corak permainan rakan sepasukan dan harap jaringan ini adalah permulaan untuk saya jaringkan lebih banyak gol untuk KL City," katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2022 @ 4:34pm
d