Bola Sepak

Bidoglio enggan dabik dada

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pengendali baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio enggan mendabik dada selepas tugas pertama bersama skuad itu membuahkan kemenangan besar 5-0 ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.

Bagi bekas pemain antarabangsa Venezuela itu, kemenangan diraih hasil kerjasama berpasukan yang memiliki mentaliti kemenangan malah pemain JDT nyata mempamerkan taktikal permainan digarap dalam tempoh dua hari dia membimbing pasukan itu.

"Ia kemenangan berpasukan dan saya gembira dengan komitmen setiap pemain malah mereka mengikut perancangan taktikal dilaksanakan ketika sesi latihan.

"Saya juga berterima kasih kepada Bos (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang memberi kepercayaan untuk membimbing JDT dan saya akui JDT sudah lengkap dan hanya perlu digilap untuk lebih mantap.

"Apapun, aksi menentang KL City FC bukanlah mudah kerana pasukan itu juga memberi tekanan dengan corak serang balas pantas yang hampir memerangkap benteng JDT tapi ampuh dan memperagakan disiplin tinggi menyukarkan pemain lawan mencipta jaringan," katanya.

Pada perlawanan itu, Bergson Da Silva meletakkan dirinya selaku penjaring terbanyak liga dengan 16 gol selepas mencipta dua gol pada minit ketujuh menerusi sepakan penalti dan gol pada minit ke-25.

Leandro Velazquez menambah derita KL City FC apabila menyudahkan sepakan penalti ke-54 dan disusuli jaringan Fernando Forestieri pada minit ke-71 sebelum pemain gantian Safawi Rasid meledak gol kelima skuad Harimau Selatan pada minit ke-84.

Ditanya mengenai persembahan pemain tengah, Nathaniel Sio yang beraksi cemerlang, pengendali kelahiran Argentina itu jelas berpuas hati dengan sumbangan pemain berusia 21 tahun itu apabila menghalang pergerakan pemain tengah KL City FC.

"Nathaniel pemain rajin dan saya tahu apa yang dia lakukan seperti mana saya pernah beraksi di posisi tengah tapi dia perlu tingkatkan lagi kualiti permainan bagi mematangkan corak permainannya," katanya.

Bidoglio juga mengkaji untuk menggilirkan setiap pemain bagi memastikan mereka diberi peluang beraksi terutama pemain yang jarang diturunkan bagi meraih minit perlawanan kompetitif tatkala saingan liga masih panjang.

"JDT dibarisi pemain berkaliber dan mantap. Ini memberi ruang kepada saya menilai sendiri tahap dan kualiti setiap pemain malah saya akan menggilirkan pemain namun bergantung kepada situasi," kata Bidoglio.

Disiarkan pada: August 2, 2022 @ 1:09pm
d