Bola Sepak

Jadi yang terbaik jika mahu terpilih - Hassan

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Tiada jaminan buat mana-mana pemain skuad bawah 19 (B-19) tahun negara yang menjuarai Kejuaraan AFF B-19 di Indonesia, bulan lalu, berada dalam skuad akhir untuk menghadapi Kelayakan Piala Asia B-20 di Mongolia, bulan depan.

Sebaliknya, pengendali pasukan iaitu Hassan Sazali Waras mengakui hanya yang terbaik akan disenaraikan termasuk muka baharu yang dibawa ke pertandingan jemputan antarabangsa B-19 di Vietnam bermula Jumaat ini hingga Khamis depan.

Katanya, hampir 80 peratus pemain yang dibawa ke Vietnam adalah tonggak baharu yang diberi peluang, sekali gus jika mampu mempamerkan aksi terbaik tidak mustahil akan dipilih ke pusingan Kelayakan Piala Asia nanti.

"Kumpulan pemain saya panggil untuk kejohanan kali ini (di Vietnam) kebanyakannya tidak tersenarai dalam skuad Piala AFF baru-baru ini, dengan tujuan untuk melihat 'pool players' lebih ramai.

"Ia bagi membolehkan saya kenal pasti pemain terbaik bagi mempersiapkan pasukan ke kelayakan Piala Asia B-20 pada September depan.

"Ini bermakna, tempat pemain yang pernah beraksi pada Piala AFF sebelum ini masih belum terjamin kerana mereka perlu rebut, jadi yang terbaik jika mahu terpilih," katanya sebelum berlepas ke Vietnam, hari ini.

Bulan lalu, skuad B-19 negara mencipta sensasi di bumi Indonesia apabila muncul juara Piala AFF selepas menewaskan Laos 2-0 di perlawanan akhir.

Hassan berkata, biarpun menjalani sesi latihan cukup singkat selama dua hari sebelum berangkat hari ini, beliau percaya dengan kemampuan anak didiknya itu.

"Memang sukar untuk pemain mendapat keserasian dalam tempoh singkat, tetapi pemilihan pemain kali ini berdasarkan minit permainan mereka dalam saingan liga tempatan terutama Liga Perdana dan Piala Presiden.

"Jadi dalam latihan akan datang ini saya akan cuba pastikan keserasian antara pemain itu wujud dari satu perlawanan ke satu perlawanan," katanya.

Dalam saingan jemputan itu, Vietnam turut menjemput Thailand dan Myanmar selain Malaysia.

Pasukan negara akan turun bertemu Thailand pada Jumaat ini sebelum berdepan tuan rumah dua hari kemudian dan Myanmar di aksi terakhir.

Dua pasukan yang mengumpul mata tertinggi akan mara ke final yang dijadual berlangsung Khamis depan.

Disiarkan pada: August 3, 2022 @ 7:29pm
d