Bola Sepak

Malaysia, Thailand buntu cipta jaringan

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Skuad bawah 19 (B-19) tahun negara berjaya mengikat Thailand dalam aksi pertama Kejohanan Bolasepak Thanh Nien Antarabangsa B-19 di Stadium Binh Duong, Vietnam, hari ini.

Malaysia yang hadir ke pertandingan jemputan itu dengan dibarisi skuad kedua berjaya mengikat Thailand tanpa jaringan, dengan kedua-dua pasukan memungut satu mata.

Skuad negara kendalian Hassan Sazali Waras yang baru menjuarai Kejuaraan AFF B-19 pada bulan lalu tampil dengan muka baharu dengan 80 peratus skuad berbeza daripada sebelum ini.

Walaupun bukan skuad utama, barisan pemain tetap berjaya memberi saingan kepada lawan yang turut menjadikan saingan di Vietnam itu sebagai aksi pemanas badan sebelum menghadapi Kelayakan Piala Asia B-20 bulan depan.

Dalam aksi itu, Thailand lebih banyak menguasai aksi dengan melancarkan serangan demi serangan untuk memburu gol di babak pertama.

Skuad negara juga turut sesekali menyerang namun masalah persefahaman ekoran baru di kumpulkan empat hari lalu sedikit membataskan pergerakan pasukan.

Peluang paling hampir pada babak kedua menerusi percubaan Muhammad Abu Khalil dari luar kotak penalti mudah dihalang penjaga gol lawan.

Begitupun skuad negara harus berterima kasih kepada penjaga gol, Syahmi Adib yang banyak menyelamatkan percubaan penyerang Thailand hingga ke wisel penamat.

Dalam Malaysia dan Thailand, penganjur iaitu Konfederasi Bolasepak Vietnam (VFF) turut menjemput Myanmar dan skuad B-19 tuan rumah.

Dua pasukan yang mengumpul mata tertinggi akan mara ke final yang dijadual berlangsung Khamis depan.

Disiarkan pada: August 5, 2022 @ 8:14pm
d