Bola Sepak

Tuan rumah Piala Asia diumum 17 Oktober

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya mempunyai tempoh selama 17 bulan seandainya Qatar atau Australia dipilih sebagai venue Piala Asia tahun depan.

Ini bermakna, skuad kendalian Kim Pan-gon memiliki masa hampir setahun lebih untuk mempersiapkan pasukan sebelum beraksi di pusingan akhir itu.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John dengan keputusan muktamad mengenai status tuan rumah bakal diumumkan pada 17 Oktober ini.

Selain Qatar dan Australia, Windsor menjelaskan Korea Selatan serta Indonesia sudah menawarkan diri namun pihaknya akan meneliti setiap tawaran yang boleh disediakan negara terbabit.

Ujarnya, jika Korea Selatan dan Indonesia pula dipilih, saingan Piala Asia akan dilangsungkan pertengahan tahun depan.

"Negara terbabit sekarang ini sedang menyiapkan buku tawaran atau bidaan terutama apa yang ditawarkan mereka termasuk dari segi stadium dan kelengkapan.

"Selepas itu kami akan hantar pasukan melawat empat negara berkenaan dan akan mengesahkan apa yang mereka berikan dalam buku tawaran itu sama dengan yang kami buat lawatan.

"Langkah seterusnya kami akan senarai pendek siapa yang mengikut kriteria ditetapkan dan seterusnya diserahkan kepada Exco yang mana Exco akan buat keputusan.

"Cuma yang perlu diingat, jika negara Timur (Korea Selatan) dipilih, tarikh kejohanan mungkin Jun atau Julai tahun depan. Kalau Australia atau Qatar dipilih salah satu, maka tarikh akan dipinda ke 2024, itu bezanya sebab cuaca," katanya ketika ditemui pada Kongres Tahunan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam.

Piala Asia yang sepatutnya diadakan di China pada tahun depan terpaksa dipilih semula ekoran keputusan negara Tembok Besar itu menarik diri susulan Covid-19.

Selain itu, Windsor menjelaskan elemen utama pemilihan tuan rumah adalah berdasarkan negara mana yang boleh memberikan tawaran atau menyediakan kelengkapan terbaik bagi kejohanan itu.

"Saya rasa Exco akan pilih tawaran yang terbaik terutama negara yang dalam jangka masa pendek boleh anjurkan satu kejohanan Piala Asia terbaik. Kita kena pilih yang terbaik dan tak boleh pilih ikut sentimen lain," katanya.

Malaysia layak ke Piala Asia selepas muncul lima naib juara terbaik di pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia pada Jun lalu.

Ia sekali gus menamatkan sumpahan selama 42 tahun beraksi di saingan itu selepas kali terakhir skuad Harimau Malaya beraksi pada Piala Asia 1980.

Disiarkan pada: August 7, 2022 @ 7:13pm
d