Bola Sepak

Wajib menang lawan Australia

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Bagi memastikan trofi Kejuaraan AFF Bawah 16 (B-16) tidak terlepas daripada genggaman, skuad Harimau Muda negara tiada pilihan lain selain wajib menundukkan Australia pada aksi terakhir Kumpulan C, esok.

Perkara itu diakui pengendali skuad B-16 negara, Osmera Omaro yang menyifatkan hanya kemenangan mampu menjamin tempat ke separuh akhir.

"Saya nampak peluang masih cerah (untuk ke separuh akhir) disebabkan perlawanan Myanmar dan Kemboja akan sengit, jadi kita ada kelebihan daripada segi jaringan gol.

"Jadi, kemungkinan besar kita cuma perlu menang (bertemu Australia) dan kita akan layak ke separuh akhir," katanya.

Untuk format pertandingan kali ini, hanya juara daripada tiga kumpulan akan layak ke peringkat kalah mati, dengan satu lagi slot diberikan kepada naib juara terbaik.

Selepas mengharungi dua aksi kumpulan, skuad negara melakar satu kemenangan ke atas Kemboja 3-0 dan satu seri ketika bertemu Myanmar 1-1.

Ketika ini, Malaysia masih kekal selaku pendahulu kumpulan untuk mengumpul empat mata bersama Myanmar, namun kelebihan gol berpihak kepada kem negara.

Pada edisi lalu, Malaysia muncul juara selepas menundukkan Thailand di perlawanan akhir dengan 2-1 yang berlangsung di Chonburi, Thailand.

Disiarkan pada: August 7, 2022 @ 7:22pm
d