Bola Sepak

Gaji Arif Aiman mengejutkan

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Ingatkan puluhan ribu ringgit, rupanya gaji yang diterima bintang muda bola sepak negara, Arif Aiman Hanapi hanyalah RM11,000.

Mungkin jumlah berkenaan dilihat agak rendah bagi seorang pemain berbakat besar seperti Arif Aiman yang sering memberikan aksi menakjubkan setiap kali turun beraksi seperti seolah menerima gaji puluhan ribu.

Namun itulah Arif Aiman yang sentiasa meletakkan komitmen tinggi dalam setiap perlawanan yang diharungi bersama Johor Darul Ta'zim (JDT).

Menurut pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, tangga gaji yang diraih pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21) itu adalah tanda harga yang diletakkan oleh Tunku Ismail sendiri.

Beliau yang mendedahkan perkara itu dilaman sosial berkata, selain gaji berkenaan, Tunku Ismail turut menyediakan bonus buat pemain yang memberi prestasi terbaik sama ada dalam latihan mahupun perlawanan.

"Saya kenal setiap pemain saya. Daripada akademi hingga ke pasukan utama. Saya juga yang membuat keputusan berkenaan kontrak pemain.

"Tahukah anda berapa gaji Arif Aiman tahun lepas? RM11,000 sahaja. Tetapi main bersungguh-sungguh. Kenapa?

"Kerana macam mana saya jaga setiap pemain. Contoh bonus, bonus akan diberikan kepada setiap pemain yang memberi 100% dalam latihan dan dalam perlawanan," tulisnya di Instagram Story milik Tunku Ismail.

Untuk rekod, saham pemain sayap Harimau Malaya berusia 20 tahun itu kini mencecah RM1.4 juta seperti mana yang diletakkan oleh laman web terkenal dunia Transfermarkt .

Nilai tinggi berkenaan sudah dijangka selepas beberapa kejayaan dicapai Arif Aiman termasuk membantu JDT menjuarai Liga Super musim lalu dan Piala Sumbangsih selain menjadi tulang belakang membawa skuad Harimau Selatan mencipta sejarah mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL) tahun ini.

Disiarkan pada: August 9, 2022 @ 8:49am
d