Bola Sepak

Saya pengurus paling gembira di dunia - Tuchel [METROTV]

Oleh Reuters

London: Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel berkata dia adalah 'pengurus paling gembira di dunia' walaupun menerima kad merah di penghujung perlawanan ketika mereka seri 2-2 menentang Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana awal pagi tadi.

Tuchel mengharungi emosi bercampur-baru ketika cuaca panas terik di Stamford Bridge, kemarahan terhadap dua gol Tottenham dan gol kedua dari Harry Kane ketika perlawanan berbaki enam minit dan kegembiraan apabila Reece James meletakkan Chelsea di depan.

Bekas pengurus Chelsea, Antonio Conte turut dilayangkan kad merah selepas perlawanan kerana pergaduhan yang berlaku antaranya dengan Tuchel selepas wisel penamat.

"Saya tak kecewa saya pengurus paling gembira di dunia," kata pengendali dari Jerman itu.

"Kami benar-benar cemerlang. Hanya satu pihak layak menang dan itu adalah kami. Kedua-dua gol mereka tidak boleh bertahan."

Tuchel merasakan Kai Havertz dikasari ketika Tottenham mendapat gol penyamaan yang dijaringkan Pierre-Emile Hojbjerg pada minit ke-68 dan Richarlison berada dalam keadaan ofsaid dan menghalang pandangan penjaga gol Edouard Mendy.

Kemudian sebelum gol penyamaan dramatik dari Kane, Tuchel berkata pemainnya yang baru diikat Marc Cucurella ditarik rambut oleh bek tengah Tottenham, Cristian Romero.

"Terdapat kesalahan yang jelas terhadap Kai Havertz dan keadaan diteruskan. Richarlison ofsaid dan bila boleh anda menarik rambut di padang bola?" kata Tuchel.

"Kami lapar, ia adalah persembahan terbaik. Saya minta maaf kepada semua pemain saya kerana kami tidak mendapat keputusan yang sepatutnya."

Disiarkan pada: August 15, 2022 @ 8:57am
d