Bola Sepak

Kesesakan luar biasa dijangka di Bukit Jalil, 10 September

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kesesakan lalu lintas 'luar biasa' dijangka bakal berlaku pada aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), 10 September ini apabila terdapat dua lagi acara besar di persekitaran kompleks sukan itu.

Dua lagi acara itu adalah konsert Kumpulan Dewa 19 dari Indonesia di Arena Axiata bersebelahan SNBJ, manakala pesta Fun Fair dilangsungkan di tapak parking hab sukan terbabit.

Perkara itu disahkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengakui wujud sedikit kebimbangan di pihaknya pada tarikh berkenaan.

Namun, beliau memohon peminat bola sepak tempatan yang mahu hadir ke SNBJ supaya menggunakan perkhidmatan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) bagi mengurangkan kesesakan kenderaan.

Katanya, kesesakan itu pasti berlaku membabitkan masalah tempat letak kereta yang dilihat terhad bagi menampung jumlah kenderaan bagi ketiga-tiga acara itu.

"Kawasan parking boleh dikatakan terhad dan tak dapat digunakan sepenuhnya, dan itu yang menjadi sedikit kebimbangan.

"Namun kita sentiasa menggalakkan orang ramai apabila datang ke SNBJ atau kompleks sukan ini, kita mempunyai prasarana cukup, bolehlah menggunakan pengangkutan awam yang tersedia," katanya ketika ditemui pada majlis detik 30 hari menjelang Sukan Malaysia MSN 2022 di Bukit Jalil, semalam.

Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan secara rasmi tarikh final Piala FA antara pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC akan berlangsung di SNBJ pada 10 September ini.

Perubahan tarikh itu tidak dapat dielakkan apabila pada awalnya saingan kemuncak itu sepatutnya diadakan hujung bulan ini.

Namun, ia diubah bagi membolehkan JDT memberi fokus kepada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Jepun ketika ini dan jika berjaya melepasi halangan pusingan kedua esok, skuad Harimau Selatan akan terus kekal di sana untuk menghadapi aksi suku akhir, sekali gus tidak sempat bersedia untuk aksi final Piala FA, hujung bulan ini.

Beliau berkata, keputusan untuk mengadakan aksi final di SNBJ pada tarikh itu turut dipersetujui wakil kedua-dua finalis yang hadir ketika melakukan pemeriksaan bersama MFL dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), baru-baru ini.

"Jadi itulah saya terpaksa sebutkan daripada awal lagi akan berlakunya kehadiran orang ramai dan kesesakan, jadi kita maklumkan awal.

"Tak salah, saya dapat makluman pihak Terengganu dan JDT telah melawat stadium dan mereka berpuas hati keadaan padang dan sebagainya, tiada rungutan dan mereka bersetuju bermain di final di sini.

"Kami meletakkan kepentingan nasional di atas segala-galanya, ini keutamaan kami. Selepas itu, kita akan kembali usaha untuk memulihkan stadium, saya nak pastikan apabila kita bermula dan akhirnya akan selesai demi keselesaan jangka panjang," katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2022 @ 11:06am
d