Bola Sepak

'Selangor patut beraksi di ACL'

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Bekas pemain skuad Harimau Malaya, Khalid Ali menyifatkan Selangor FC adalah pasukan yang sepatutnya mengiringi Johor Darul Ta'zim (JDT) beraksi secara automatik ke saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada musim 2024 nanti.

Jelas Khalid, beliau melihat skuad Red Giants berkemampuan untuk melakukannya dengan tempoh dua tahun ini perlu digunakan sebaiknya terutama dalam mengubah struktur kejurulatihan dan pengurusan kelab.

Katanya, Selangor dipilih berdasarkan kepada kemampuan kewangan pasukan itu serta fasiliti pusat latihan yang kedua terbaik di negara ini bagi menyediakan pemain di tahap tertinggi.

"Saya lihat Selangor sebenarnya ikut JDT, kerana mereka ada sumber kewangan yang kukuh dan banyak cuma tidak bijak menggunakannya dalam pemilihan pemain dan jurulatih.

"Jika diletakkan orang yang tepat di setiap posisi dalam pasukan Selangor, ditambah pengurusan yang betul-betul memahami bola sepak moden, saya percaya slot ke ACL boleh jadi milik Selangor.

"Pasukan lain pun bagus seperti Terengganu FC, tapi saya lihat Selangor lebih berkemampuan jika pasukannya itu distruktur semula dan letak orang-orang yang tepat," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Untuk rekod, berdasarkan peningkatan mata ranking kelab Asia, Malaysia dijangka memperolehi empat slot ke ACL dengan dua daripada automatik ke peringkat kumpulan manakala dua lagi akan bersaing di pusingan kelayakan.

Lantas ini bermakna pada musim 2024 nanti, dua wakil Malaysia akan terus layak, sementara dua lagi berpeluang mengikut jejak dua kelab yang sudah layak secara automatik sebelum itu.

"Macam saya kata tadi, JDT dan Selangor perlu layak terus main. Buat dua lagi pasukan (pusingan kelayakan ACL) mungkin Terengganu dan satu lagi rebutan buat kelab-kelab lain," katanya.

Ujarnya lagi, perkara paling penting yang wajib dilakukan semua pasukan dalam Liga M ketika ini adalah, bagaimana untuk tingkatkan tahap permainan agar tidak menjadi mangsa belasahan di ACL nanti.

"Saya sarankan semua kelab-kelab di Liga M ini contohilah macam JDT. Pergilah ikut 'blue print' yang digunakan JDT untuk tingkatkan pengurusan dan sistem latihan.

"Kita tidak mahu kelebihan slot yang diberikan nanti menjadi lubuk dibelasah kelab-kelab kuat dari Jepun atau Korea Selatan, malu pulak kita nanti.

"Jadi kalau berhasrat nak main seperti JDT di ACL, kena ubah dari sekarang dan janganlah mendabik dada selesa dengan apa yang ada sekarang ini," katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2022 @ 2:15pm
d