Bola Sepak

Pan Gon tagih kudrat pemain B-23

Oleh Firdaus Hashim

Shah Alam: Skuad Harimau Malaya bakal diperkuatkan dengan kehadiran beberapa muka daripada skuad bawah 23 (B-23) tahun negara kendalian bekas jurulatihnya, Brad Maloney sebelum ini.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar, kemungkinan memanggil pemain B-23 itu dilihat besar selepas pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon memerhati rapat perlawanan membabitkan pemain muda negara itu sebelum ini, termasuk dalam saingan Liga Malaysia.

Malah, kehadiran beberapa pemain B-23 dalam kem latihan skuad senior negara pada pertengahan bulan depan adalah sebagai usaha awal bagi mendedahkan pemain dengan falsafah dan corak permainan yang dibawa oleh jurulatih dari Korea Selatan itu.

"Kita minta pandangan juga (pandangan Pan-gon memilih jurulatih B-23), sebab apa yang kita perlu ada kesinambungan daripada B-23 tahun ini, ke pasukan kebangsaan.

"Sudah tentu kita perlu lakukan segera, mungkin sebab pasukan kebangsaan akan dikumpulkan untuk Kings Cup di Chiang Mai (aksi persahabatan di Thailand bulan depan).

"Jadi ini adalah masanya juga untuk Pan-gon, beliau pun dah tengok pemain B-23 tahun kita yang beraksi di dalam liga dan juga semasa pertandingan B-23 dulu, dan mungkin dia akan panggil pemain-pemain ini.

"Jadi itu saya katakan tadi kesinambungan itu perlu ada," katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman kerjasama FAM dan pengeluar kereta terkenal, KIA di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin menjelaskan pengumuman jurulatih baru skuad B-23 akan dilakukan minggu ini.

Antara calon hangat yang dijangka mengisi kekosongan ditinggalkan Maloney ialah penolong pengendali skuad Harimau Malaya, E Elavarasan.

Elavarasan dilihat calon paling sesuai berdasarkan kepada pengalaman luasnya disamping sudah memahami falsafah permainan Pan-gon sekali gus menolak ketepi beberapa calon luar.

Disiarkan pada: August 22, 2022 @ 6:20pm
d