Bola Sepak

Bidoglio belum puas hati walaupun ratah Melaka

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui masih ada kelemahan harus diperbaiki bagi memastikan momentum permainan tidak terjejas biarpun menang besar 4-0 ke atas Melaka United pada aksi tertunda Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam..

Bidoglio berkata, seawal permainan tampak rentak begitu perlahan apabila pemain menghadapi kesukaran memecah benteng pasukan lawan yang berkubu di kawasan sendiri.

"Tapi apabila kami berjaya merungkai jaringan, rentak permainan meningkat dan pemain mula memberi tekanan terhadap pasukan lawan yang sudah mula hilang konsentrasi.

"Malah, kami mengawal permainan dan mengelak daripada terbabit dalam beberapa insiden kekasaran selepas beberapa pemain JDT dilayangkan kad kuning dan pastinya ia boleh menjejaskan konsentrasi pemain."

Pada perlawanan itu, ayam tambatan JDT, Bergson Da Silva berjaya melakar hatrik sekali gus jaringan ke-20 pemain import dari Brazil itu.

Fernando Forestieri memulakan pesta gol skuad Harimau Selatan selepas meledak gol pada minit ke-13.

Ditanya mengenai persembahan pemain tengah, Daniel Amir Norisham yang diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan itu, Bidoglio nyata gembira dengan kualiti permainan ditampilkan Daniel yang pantas menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan lain.

"Walaupun jarang diturunkan dan kerap berada di bangku simpanan, Daniel Amir menunjukkan persembahan mantap apabila menguasai posisi tengah dengan baik malah gandingan bersama Natxo (Insa) dan Leandro (Velazquez) tampak konsisten," katanya.

Mengulas mengenai tindakannya menyenaraikan Haziq Nadzli dan merehatkan Farizal Marlias mengemudi gawang JDT, pengendali kelahiran Argentina itu menegaskan ia tidak ada kena mengena dengan kekalahan besar 0-5 kepada Urawa Red Diamonds, baru-baru ini.

"Farizal tetap penting untuk kami bagi mengawal gawang JDT. Sudah menjadi lumrah ada rombakan kecil bukan sahaja di posisi penjaga gol malah semua posisi juga akan ada rombakan dan saya senaraikan Haziq kerana dia juga perlukan minit permainan.

"Saya ambil keputusan menyenaraikan Haziq kerana ia peluang terbaik buat dia beraksi menentang Melaka United kerana jika berlaku perkara tidak diingini kepada Farizal maka Haziq yang ada minit permainan akan bersedia diturunkan," kata Bidoglio.

Disiarkan pada: August 30, 2022 @ 1:12pm
d