Bola Sepak

O' Donell percaya kemampuan Elavarasan

Oleh Firdaus Hashim

Petaling Jaya: Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Scott O'Donell percaya E Elavarasan mampu memikul dua tanggungjawab apabila kekal sebagai penolong jurulatih skuad senior Harimau Malaya dan ketua pengendali baharu skuad bawah 23 (B-23) tahun negara.

Jelasnya, situasi itu tidak akan akan mengganggu persiapan kedua-dua pasukan terutamanya skuad senior yang dijadual bersaing di Piala Asia pada tahun depan.

Katanya, pelantikan penolong ketua jurulatih pasukan senior untuk mengemudi skuad muda bukanlah perkara yang luar biasa memandangkan ia pernah dilaksanakan oleh beberapa negara di rantau ini.

"Kalau kita lihat pelantikan ini bukanlah satu perkara yang baru, malah pernah dilakukan oleh beberapa negara di rantau ini. Jadi saya tidak rasa pelantikan Elavarasan ini akan memberi kesan kepada persiapan skuad senior kebangsaan.

"Jika ada pertembungan kejohanan, dia akan fokus dengan skuad B-23 dan jika tiada, dia akan bersama skuad Harimau Malaya," katanya pada sidang media pengumuman barisan kejurulatihan B-23 di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, hari ini.

Ujarnya lagi, pengalaman luas Elavarasan selama 28 tahun disamping sudah memahami falsafah permainan skuad senior selepas bersama Kim Pan-gon sejak enam bulan lalu, pastinya dapat menerapkan corak yang sama dengan pasukan B-23.

"Malah saya berasakan pelantikan Elavarasan ini selari dengan apa yang kita mahukan iaitu kesinambungan diantara pasukan senior dan muda, yang mana sudah tentu corak dan filosofi yang akan digunakan sama seperti pasukan senior.

"Dengan tugas yang diberikan kepada Elavarasan iaitu untuk membesarkan lagi kumpulan-kumpulan pemain, saya rasa ia akan membantu skuad senior kelak,"katanya.

Kalendar antarabangsa skuad B-23 sepanjang tahun depan dijangka sibuk apabila tiga saingan utama bakal menanti antaranya Sukan Sea Kemboja, Sukan Asia Hangzhou, China dan Kelayakan Olimpik Paris 2024.

Disiarkan pada: September 1, 2022 @ 2:27pm
d