Bola Sepak

Mohd Daud pemilik saham terbesar KDA FC

Oleh Affan Rostam

Kuala Lumpur: Kedah Darul Aman (KDA) FC mengumumkan Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar sebagai pemilik saham terbesar bagi Darulaman Football Club Sdn Bhd.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, KDA FC berkata, penambahan pegangan saham bagi pasukan mereka dilihat sebagai aspek yang akan merancakkan serta menambah lagi peluang perniagaan terutama dalam era modenisasi bola sepak ketika ini.

Menurut kenyataan itu, Mohd Daud adalah orang yang tepat memandangkan beliau mempunyai pengalaman luas terutama dalam urus tadbir kewangan.

"Selaras dengan era penswastaan kelab bolasepak di Malaysia, penambahan pegangan saham dilihat strategi lebih dinamik untuk menarik lebih banyak peluang perniagaan di era bola sepak moden.

"Mohd Daud adalah seorang usahawan dalam pelbagai bidang di samping memimpin beberapa agensi besar negara dan tepat pada masanya untuk membangunkan kelestarian kewangan, tadbir urus dan tata kelola, fasiliti, prasarana serta kualiti pemain dan kejurulatihan dalam KDA FC," katanya.

Pada masa sama, KDA FC turut merakamkan ucapan penghargaan buat Menteri Besar Kedah yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor atas segala jasanya dalam membantu pasukan bola sepak negeri Kedah selama ini.

"KDA FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Muhammad Sanusi, Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dan Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman dalam memacu dengan cemerlang pasukan bola sepak Kedah.

"Pemilikan saham oleh individu seperti Mohd Daud adalah langkah awal KDA FC ke arah penswastaan sepenuhnya sebelum 2023," katanya.

Terdahulu, Mohd Daud dilantik oleh Muhammad Sanusi sebagai Penaung KDA FC pada 25 November 2021.

Disiarkan pada: September 5, 2022 @ 8:47pm
d