Bola Sepak

Pan-gon tak senarai Farizal

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Tiada lagi kelibat penjaga gol berpengalaman, Farizal Marlias dalam skuad Harimau Malaya selepas pengendali negara, Kim Pan-gon mengumumkan senarai 25 pemain bagi mengikuti latihan pusat bermula Jumaat ini.

Sebaliknya jurulatih dari Korea Selatan itu membuat kejutan dengan menyenaraikan penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim selain memanggil semula Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dari Petaling Jaya City dan mengekalkan penjaga gol Negeri Sembilan, Ahmad Syihan Hazmi.

Pan-gon yang dalam misi mempersiapkan pasukan menghadapi dua perlawanan antarabangsa di kejohanan jemputan King's Cup di Chiang Mai, Thailand pada 22 dan 25 September ini turut memberi peluang buat dua lagi pemain berusia 21 tahun iaitu Azam Azmi Murad dan Mukhairi Ajmal Mahadi.

Tonggak kacukan Kuala Lumpur City FC, Declan Lambert turut dipanggil buat pertama kali selepas dia memperagakan aksi mantap di bahagian pertahanan skuad The City Boys dalam saingan Liga Malaysia mahupun Piala AFC.

Malah, kepulangan semula ketua pasukan Selangor FC, Brendan Gan ke pangkuan skuad negara turut mencuri tumpuan.

Berdasarkan senarai itu, Pan-gon mengekalkan seramai 17 daripada 23 pemain yang membawa skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 pada kempen kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jun lalu.

Dion Cools, Faisal Halim, Safawi Rasid, Arif Aiman Hanapi, Khuzaimi Pie, Mohamadou Sumerah dan beberapa pemain sebelum ini masih dikekalkan, dengan tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) masih mendominasi senarai dengan sembilan pemain.

Di Chiang Mai nanti, Malaysia diundi berdepan Thailand dan jika menang, anak buah Pan-gon akan mara ke final menentang sama ada Trinidad & Tobago atau Tajikistan.

Disiarkan pada: September 12, 2022 @ 7:53pm
d