Bola Sepak

Lupakan kegagalan julang Piala FA

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menuntut pemainnya agar dapat melupakan episod duka gagal merangkul trofi Piala FA selepas tumpas 1-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), Sabtu lalu.

Sebaliknya jurulatih muda itu menggesa anak buahnya fokus untuk memburu tiga mata penuh dalam aksi Liga Super menentang Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok.

Nafuzi berkata, tiga mata begitu penting dalam misi untuk menamatkan saingan liga sekurang-kurangnya di tempat ketiga sekali gus mengintai peluang beraksi di pentas Asia dalam saingan Piala AFC.

"Moral pemain sedikit menurun selepas gagal merangkul trofi Piala FA Sabtu lalu, tapi sebagai pemain profesional saya ingatkan kepada mereka agar dapat melupakan episod duka itu dengan fokus 100 peratus dalam saingan liga.

"Berdepan Penang FC, saya harap tiga mata penuh dapat diraih agar kami tidak keciciran mata lagi lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri, jadi pemain perlu mengambil peluang itu dengan sebaik mungkin.

"Ini kerana misi kita untuk beraksi di pentas Asia belum tertutup rapat dan masih terbuka luas dengan syarat perlu merakam kemenangan dalam semua baki perlawanan selepas gagal merangkul gelaran Piala FA Sabtu lalu," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, petang semalam.

Ketika ditanya adakah beliau akan melakukan rombakan dalam senarai barisan pemainnya berdepan skuad Harimau Kumbang itu, pengendali meningkat naik itu menjelaskan akan melihat perkembangan semasa anak buahnya.

"Saya belum memutuskan lagi kerana perlu melihat kondisi pemain terlebih dahulu berkaitan kecergasan dan kecederaan.

"Namun saya percaya semua pemain sentiasa bersedia untuk menebus kehampaan selepas tumpas kepada skuad itu pada aksi pusingan pertama di tempat lawan," katanya yang menuntut anak buahnya berwaspada biarpun lawan kini menghuni di tangga tercorot liga.

Pada aksi pusingan pertama Jun lalu di Stadium Bandaraya, skuad Penyu tumpas 1-2 kepada skuad Harimau Kumbang.

Disiarkan pada: September 13, 2022 @ 4:41pm
d