Bola Sepak

Demi negara, Azam 'telan' kesakitan

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Demi negara sanggup ketepikan kesakitan ditanggung dengan memberikan terbaik untuk skuad Harimau Malaya.

Itu pengorbanan tonggak Harimau Malaya, Nor Azam Azih apabila mendedahkan bahawa dia sebenarnya masih lagi menanggung kesakitan akibat kecederaan lutut sejak 2017 hingga menyebabkan prestasinya sejak kebelakangan ini kurang 'menyengat'.

Azam yang juga pemain skuad Sri Pahang berkata, ketika ini dia berusaha untuk mengembalikan keyakinan dan kemampuan diri dengan menjadikan pentas kejohanan Piala Raja Thai bermula Khamis ini sebagai medan untuk dia bangkit.

Katanya, dia tidak berhadapan masalah untuk mempamerkan aksi terbaik jika pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon menurunkannya menentang Thailand pada perlawanan pertama kelak.

"Permainan saya dah tak sama macam dulu disebabkan sakit di bahagian 'meniscus', itu yang mengganggu prestasi saya dalam liga kerana tak boleh betul-betul paksa.

"Saya seorang pemain yang gemar lakukan pintasan tetapi sakit yang saya alami ini membuatkan saya sukar untuk buat demikian, jadi keyakinan saya agak kurang.

"Jika mahu meningkatkan tahap keyakinan diri, saya cuba makan pil tahan sakit dan itu cara untuk atasi kesakitan namun tidak boleh kerap ambil kerana memberi kesan kepada diri,"katanya, ketika ditemui pada sesi latihan skuad Harimau Malaya di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), petang semalam.

Skuad kebangsaan ketika ini dalam rangka persiapan menghadapi Piala Raja Thai Ke-48, 2022 di Chiang Mai, Thailand bermula Khamis ini hingga 25 September.

Pasukan negara akan berdepan tuan rumah dalam perlawanan pertama sebelum menentang sama ada Trinidad & Tobago atau Tajikistan dalam penentuan tempat ketiga atau final di Stadium Ulang Tahun Ke-700, Chiang Mai.

Sementara itu, Azam berkata, ketiadaan Syamer Kutty Abba dalam pasukan Harimau Malaya kali ini tidak akan menjejaskan momentum pasukan yang turut dibarisi pemain berpengalaman lain seperti Brendan Gan dan Nazmi Faiz Mansor.

"Saya lihat kelebihan pada bertahan ada pada Brendan dan gandingan kami ada nampak sedikit keserasian dalam dua hari sesi latihan ini dan akan terus tingkatkan prestasi.

"Bagi saya tiada masalah untuk bermain dengan sesiapa dan saya pun dah biasa main bersama Gan dan Nazmi sebelum ini," katanya.

Disiarkan pada: September 19, 2022 @ 12:44pm
d