Bola Sepak

Hungary lebur rekod tanpa kalah Jerman

Oleh AFP

Leipzig: Sepakan menarik pada separuh masa pertama daripada penyerang, Adam Szalai memberikan Hungary kemenangan 1-0 ke atas Jerman di Arena Red Bull Leipzig, awal pagi tadi.

Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Hungary di tangga teratas kumpulan dengan pasukan yang belum tewas itu hanya memerlukan keputusan seri pada perlawanan terakhir menentang Itali di tempat lawan untuk mengesahkan juara kumpulan.

Jurulatih Hungary dari Itali, Marco Rossi selepas tamat perlawanan berkata: "Adam Szalai layak menerima pujian untuk kemenangan pasukan.

"Kami boleh mengesahkan juara kumpulan pada perlawanan menentang Itali. Ia akan menjadi perlawanan istimewa untuk saya."

Beraksi pada perlawanan kedua terakhirnya sebelum bersara daripada bola sepak antarabangsa, Szalai meledak gol kemenangan Hungary 17 minit selepas berlangsungnya perlawanan.

Szalai, yang beraksi di kelab Switzerland, Basel selepas beraksi di lima pasukan berbeza di Bundesliga, menjaringkan gol menarik menggunakan tumitnya.

Kekalahan Jerman itu adalah yang pertama untuk bekas pengurus Bayern, Hansi Flick selepas membimbing pasukan memenangi sembilan perlawanan serta seri empat kali sepanjang 13 perlawanan.

"Kekalahan ini tidak akan melemahkan semangat kami. Ia sebaliknya membuka mata kami.

"Pemain beraksi dengan sangat teruk pada separuh masa pertama. Lebih baik merasai kekecewaan sekarang berbanding di Piala Dunia," katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2022 @ 8:18am
d