Bola Sepak

Badrul belum pasti destinasi musim depan

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Selepas membantu Terengganu merangkul 'ibu segala pingat' di Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Jumaat lalu, ketua jurulatih skuad bola sepak, Badrul Afzan Razali belum pasti destinasinya pada musim depan.

Malah, beliau yang juga ketua jurulatih skuad Terengganu FC II (TFC II) belum mendapat 'lampu hijau' daripada pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd sama ada bakal diberi tanggungjawab membimbing skuad Liga Simpanan musim depan atau sebaliknya, selepas Liga Perdana dimansuhkan mulai 2023.

Bagaimanapun bekas arkitek skuad Terengganu kelahiran Kemaman itu menaruh harapan tinggi untuk kekal membimbing skuad Terengganu biarpun setakat ini ada menerima tawaran daripada pasukan lain.

"Saya ada menerima tawaran daripada pasukan negeri lain untuk membimbing pasukan Liga Simpanan mereka, tapi saya belum membuat keputusan muktamad lagi kerana lebih cenderung untuk membimbing pasukan dari Terengganu.

"Pada masa sama saya masih menanti keputusan muktamad daripada pihak pengurusan Terengganu TFC Sdn Bhd sama ada memberi tanggungjawab membimbing skuad dari Terengganu atau sebaliknya.

"Jadi saya serahkan kepada pihak pengurusan, jika ada rezeki saya di Terengganu saya sedia berkhidmat di negeri kelahiran, tapi jika tiada rezeki di bumi Darul Iman, saya menerimanya dengan hati yang terbuka," katanya ketika dihubungi.

Ketika ditanya jika beliau mendapat tawaran untuk membimbing pasukan Liga Super kelab lain musim depan, jurulatih berusia 46 tahun itu yang kini sedang mengambil kursus Lesen Kejurulatihan Pro A Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sedia pertimbangkan tawaran berkenaan.

"Jika ada tawaran daripada kelab lain dalam kancah Liga Super musim depan, saya sedia pertimbangkan tawaran itu untuk kembangkan lagi karier saya.

"Namun sebagaimana ditegaskan, saya lebih berminat untuk membimbing pasukan dari Terengganu selepas Liga Perdana dimansuhkan," katanya yang berjaya membantu pasukan TFC II menamatkan saingan liga di kedudukan keempat, musim ini.

Terengganu menewaskan Pulau Pinang 2-0 di final Sukma 2022 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Gol itu dijaringkan kapten, Muhammad Safwan Mazlan pada babak pertama dan gol kedua pasukannya menerusi jaringan sendiri pemain pertahanan skuad Harimau Kumbang, Muhammad Aidil Azuan.

Disiarkan pada: September 25, 2022 @ 7:27pm
d