Bola Sepak

Harimau Malaya naib juara Piala Raja Thai

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya terlepas peluang untuk menjulang Piala Raja Thai 2022 selepas tewas 0-3 kepada Tajikistan menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan di final di Stadium Chiang Mai, malam ini.

Walaupun tewas, pujian harus diberikan kepada anak buah Kim Pan-gon kerana berjaya mengikat pasukan yang berada di ranking ke-109 dunia itu sehingga ke akhir perlawanan.

Cuma, pasukan Harimau Malaya dilihat gagal memanfaatkan keadaan padang becak yang sememangnya menjadi 'makanan' mereka apabila setiap peluang gagal diterjemahkan menerusi jaringan gol.

Pan-gon melakukan perubahan di bahagian serangan apabila menyimpan 'ayam tambatan' Arif Aiman dan Darren Lok, sebaliknya menyenaraikan Mohamadou Sumareh dan Faiz Nazmi dalam kesebelasan utama.

Selepas menyingkirkan lawannya di ranking ke-111 iaitu Thailand pada Khamis lalu, anak buah Pan-gon dilihat lebih berani memegang bola dan mengawal perlawanan sepanjang separuh masa pertama berlangsung.

Malah, tandukan Brendan Gan pada minit ke-23 hampir menggegarkan gawang lawan, namun sedikit tersasar.

Hujan lebat menjejaskan rentak permainan dan berlaku beberapa insiden kekasaran dengan tiga layangan kad kuning termasuk dua kepada pemain Harimau Malaya.

Memasuki babak kedua, Pan-gon mengeluarkan Sumareh yang bernasih baik tidak dilayangkan kad kuning kedua sebelum rehat dan menggantikannya dengan Faisal Halim.

Pan-gon kemudian memasukkan dua lagi pemain iaitu Darren Lok dan Arif Aiman bagi memastikan jentera serangan terus 'hidup' bagi mencari gol pembukaan.

Sepakan Safawi Rasid dari luar kotak penalti pada minit ke-57 hampir memecah kebuntuan gol, namun berjaya ditepis penjaga gol Tajikistan, Rustam Yatimov.

Keadaan kekal hingga tamat perlawanan sebelum penentuan sepakan penalti menyaksikan percubaan Dion Cools dan Nazmi berjaya diselamatkan oleh Rustam.

Peluang skuad Harimau Malaya tertutup apabila sepakan penalti Safawi pula terkena palang, sekali gus menyaksikan Tajikistan menjulang Piala Raja Thai 2022 dengan keputusan 3-0.

Disiarkan pada: September 25, 2022 @ 11:57pm
d