Bola Sepak

Hamidin tercalon Ahli Jawatankuasa Fifa

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus mendapat kepercayaan dunia apabila presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin dicalonkan sebagai Ahli Jawatankuasa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bagi pemilihan ahli jawatankuasa eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) penggal 2023-2027.

Jelas Hamidin, pencalonan dirinya adalah satu pengiktirafan dan sedia memacu badan induk bola sepak tempatan itu di mata dunia.

"Meskipun ia baru di peringkat pencalonan, namun saya tetap menganggap ia sebagai satu penghormatan dalam membawa nama Malaysia khususnya bola sepak di mata dunia.

"Ia juga adalah sokongan daripada negara Asia lain, yang menaruh kepercayaan kepada saya.

"Dalam pada itu, ia selari dengan matlamat saya dalam menjadikan bola sepak Malaysia sebagai satu komponen amat penting di peringkat antarabangsa.

"Paling yang menjadi keutamaan dan tumpuan buat saya ialah untuk menaikkan lagi bola sepak Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi terutamanya di mata dunia," katanya kepada Arena Metro.

Selain Hamidin, terdapat enam lagi calon iaitu wakil daripada China, Jepun, Korea Selatan, Filipina, Qatar dan Arab Saudi.

Pemilihan berkenaan akan dilangsungkan pada 1 dan 2 April tahun depan di Manama, Bahrain.

Disiarkan pada: October 5, 2022 @ 1:47pm
d