Bola Sepak

Bertemu JDT, Aidil elak kekalahan kali keempat

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sedar tugas paling sukar musim ini terpaksa digalas skuad Sang Kenari apabila bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim untuk menghadapi Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super, malam esok.

Bagi pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak, beliau mengakui faktor kepenatan menjadi keutamaannya dalam membentuk skuad bagi menghadapi juara Liga Super itu selepas baru dua hari beraksi menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) yang berkesudahan Sang Kenari tewas 3-4.

Ini kerana perlawanan menentang NSFC di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, 7 Oktober lalu terpaksa ditangguh sehari kemudian ekoran hujan lebat dan air bertakung yang menyebabkan padang tidak sesuai digunakan untuk perlawanan pada malam itu.

"Sudah pasti aspek kecergasan akan menjadi fokus utama untuk memastikan pemain yang dipilih dapat memberi komitmen yang diharapkan dari segi konsistensi kerana kita sedar tentangan JDT yang akan menanti di laman sendiri.

"Itu adalah cabaran besar yang kami perlu tempuhi dalam usaha meneruskan aksi liga ini dan kami tiada pilihan lain selain turun dengan semangat juang yang ada bagi memastikan langkah kami dalam perjalanan liga terus menyala," katanya.

Aidil bagaimanpun tetap memasang impian dan berharap skuadnya mampu memberi aksi terbaik untuk mencari keputusan positif selepas mencatat tiga kekalahan sebelum ini.

"Cabaran tetap ada di mana-mana dan walau dengan siapa kita berdepan sekalipun, namun saya perlu ingatkan semua pemain agar dapat beraksi dengan mentaliti yang kuat biarpun terpaksa berdepan tugas yang getir.

"Bekalan semangat tetap akan kami kumpulkan bersama dalam menghadapi aksi kali ini dan yang lebih penting adalah memastikan setiap kelemahan di beberapa posisi pada perlawanan lalu dapat kami atasi untuk memastikan dapat beraksi dengan sebaik mungkin," katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2022 @ 12:26pm
d