Bola Sepak

TRW tak gentar layan JDT

Oleh Nor Amalina Alias

Kota Bharu: Pengendali Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya mengingatkan anak buahnya supaya tidak gentar berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi suku akhir Piala Malaysia hujung minggu ini.

Katanya, walaupun kedua pasukan mempunyai perbezaan besar dari segi prestasi namun pemain perlu melakukan yang terbaik untuk mara ke peringkat separuh akhir.

"Dalam bola sepak, kita cuba bagi saingan, pemain perlu bagi persembahan terbaik, fokus ketika perlawanan penting.

"Kalau kita fikir dari segi kekurangan, memang kita banyak kuranglah, tapi kita cuba cari kelebihan. Dan tengoklah nanti macamana," katanya selepas aksi antara Kelantan FC dan Sarawak United FC di sini, malam tadi.

Dalam aksi kedua pusingan pertama itu, Kelantan dan Sarawak terikat 1-1, namun tuan rumah layak ke suku akhir dengan agregat 2-1 selepas menang 1-0 di Kuching pada aksi pertama.

Mengulas lanjut, Rezal juga berharap pemainnya tidak terpalit isu kecederaan yang boleh merencatkan strategi berdepan juara Liga Super itu.

Katanya, aura pertembungan suku akhir antara JDT dan Kelantan cukup besar untuk menarik ribuan penyokong hadir ke Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu.

Mengenai persembahan skuadnya menentang Sarawak, pengendali berasal Johor itu berkata, pemainnya banyak mencipta peluang namun kurang bernasib baik.

Sementara itu, Ketua jurulatih Sarawak United FC, S Balachandran, berkata pihaknya sedar Kelantan akan bermain agresif untuk layak ke peringkat seterusnya.

Namun, dia memuji persembahan anak buahnya yang memberi saingan sengit sehingga kedua pasukan terikat 1-1.

"Kita ada banyak peluang, banyak menyerang dan cuba sehabis baik, saya puji setiap pemain. Kita memang dah ketinggalan satu gol (bermain di Kuching).

"Inilah beza jika tak ambil kesempatan pada perlawanan tempat sendiri, ketika di sana (Kuching), penjaga gol Kelantan beraksi sangat baik. Kita ada gol di sini pun, mereka ada kelebihan (gol di Kuching), jadi kita kalah," katanya yang membimbing skuad sang bedal sejak Jun lalu.

Disiarkan pada: November 1, 2022 @ 2:22pm
d