Bola Sepak

Selamat tinggal Melaka United, Sarawak

Oleh Syazwan Msar

Petaling Jaya: Penyokong bola sepak tanah air boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Sarawak United (SUFC) dan Melaka United apabila dua pasukan itu tidak memperoleh lesen kebangsaan untuk membenarkan mereka beraksi pada saingan Liga Super, tahun depan.

Ini kerana, dua pasukan itu gagal dalam memenuhi tuntutan dikemukakan sebelum ini, sekali gus menyaksikan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terpaksa menolak rayuan dua pasukan terbabit.

Dua pasukan terbabit sudah diberikan 'talian hayat' kira-kira seminggu oleh badan 'First Instance Body (FIB), namun didapati tidak dapat memenuhi dokumentasi menyebabkan mereka disingkirkan untuk beraksi di Liga Super musim depan.

Mengesahkan situasi terbabit, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) mempertimbangkan rayuan SUFC dan Melaka United berikutan keputusan First Instance Body (FIB) menolak permohonan Lesen Kebangsaan pada 12 Oktober lalu selaras dengan Artikel 3.4.4 yang termaktub di dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2022.

"AB sudah mesyuarat dan memutuskan rayuan kedua-dua pasukan iaitu SUFC dan Melaka United ditolak.

"Tahun depan SUFC dan Melaka United tidak mempunyai lesen untuk beraksi di Liga Super 2023. Kita berkomunikasi dengan dua kelab terbabit hari ini, namun keputusan sudah dibuat.

"Sekarang ini, kita akan menetapkan pasukan bertanding kepada 16 pasukan. Sejajar dengan peraturan ditetapkan MFL, dua pasukan ini tidak boleh lagi beraksi di Liga Super," katanya pada sidang media di pejabat MFL, di sini.

Mengikut rekod, SUFC dan Melaka United gagal memperoleh lesen kebangsaan untuk musim depan kerana tidak memenuhi kriteria ditetapkan dalam Kitaran Peraturan Pelesenan Kelab MFL 2022, sekali gus tidak layak untuk bertanding di pentas Liga Super 2023.

SUFC didapati gagal memenuhi kriteria kewangan dan kesukanan serta mempunyai dua kes Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila keputusan dibuat DRC FIFA terhadap bekas pemainnya iaitu Sandro Da Silva dan Taylor Regan.

Melaka United didapati tidak mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Ogos 2022 serta tidak menyerahkan dokumen berkaitan bagi memenuhi syarat sub kriteria kewangan F.04 dan F.11.

SUFC dan Melaka United bukanlah pasukan pertama tersingkir daripada Liga Super apabila sebelum ini Felda United dan UKM FC turut menerima nasib sama pada 2020.

Kedua-dua pasukan itu didapati gagal memenuhi syarat lesen kebangsaan dan penswastaan yang dikuatkuasakan bermula 2018.

Disiarkan pada: November 1, 2022 @ 4:48pm
d