Bola Sepak

Anuar tawar diri bantu Kelantan FC, KUFC musim depan

Oleh Nor Amalina Alias

Kota Bharu: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Anuar Musa menawarkan diri untuk membantu pasukan bola sepak negeri Kelantan, musim depan.

Anuar yang pernah membimbing pasukan Kelantan FC yang dikenali sebagai The Red Warriors (TRW) sejak 2007 berkata, dia sedia membantu pasukan negeri itu yang kini mempunyai dua pasukan bola sepak iaitu Kelantan Football Club (Kelantan FC) dan Kelantan United Football Club (KUFC).

Katanya, kesediaan itu merangkumi soal kewangan mahupun pentadbiran pasukan bagi bersaing di perlawanan Liga Super musim depan.

"Saya nak cuba bantu, tak kira Kelantan FC atau KUFC, kita tak nak pasukan negeri jadi belasahan tapi nak tampilkan pasukan jadi pasukan disegani, perhidup semula semangat Kelantan.

"Setakat yang ada sekarang tak cukup,mungkin untuk Liga Perdana masih okay, tapi untuk Liga Super adalah satu level (tahap) yang lain," katanya ketika ditemui dalam sambutan ulangtahun 10 tahun TRW Treble 2012 di Restoran Ikan Bakar, Kota Bharu,di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Rosmadi Ismail,bekas pengurus TRW, Azman Ibrahim dan beberapa bekas pemain TRW seperti Indra Putra Mahyuddin, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Zairul Fitree Ishak, Khairul Izuan Rosli dan ramai lagi.

Anuar berkata, dia sudah mengadakan satu pertemuan bersama pihak berkaitan namun perlu mengadakan perjumpaan bersama pemilik kedua pasukan itu yang kini sudah diswastakan.

"Jawatan tak penting, saya dah puas merasa jawatan yang ada, kita nak kembalikan semangat gelombang merah musim depan sebab Kelantan dah ada asas," katanya.

Anuar berpengalaman 15 tahun mengemudi pasukan bola sepak Kelantan hingga berjaya merangkul Juara bagi Piala FA,Liga Super dan Piala Malaysia pada tahun 2012 berkata, dengan pengalaman yang ada dia mahu pasukan negeri ini kembali memberi saingan sengit kepada pasukan lain.

"Saya boleh bagi formula, bab bola tak boleh nak jaga bola sahaja tapi keseluruhan ekosistem bola terutamanya pemain ke 12 iaitu penyokong, pasukan kejurulatihan, penjenamaan,pemasaran dan nak tak nak pasukan yang baik harus buat pelaburan yang besar," katanya.

Musim ini, Kelantan FC menamatkan saingan dengan menduduki tempat kedua Liga Perdana dan hanya layak ke suku akhir selepas dikalahkan 'musuh tradisi' Johor Darul Ta'azim dengan agregat 8-0, manakala KUFC sekadar menduduki tangga ke lima Liga Perdana dan masuk ke pusing 16 TM Piala Malaysia selepas tewas 0-3 kepada Selangor FC.

Disiarkan pada: November 13, 2022 @ 6:14pm
d